KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-17 di Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad dan Naib Canselor USAS Prof Datuk Dr Wan Sabri Wan Yusof.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah.

Sultan Nazrin yang juga Canselor USAS kemudian berkenan menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah serta Ijazah Sarjana Fakulti Pengurusan dan Teknologi Maklumat (FPTM) serta Ijazah Doktor Falsafah, Ijazah Sarjana serta Diploma Pascasiswazah Fakulti Pengajian Islam dan Sains Sosial (FPISS) kepada para graduan.

Baginda juga berkenan menganugerahkan lima anugerah kecemerlangan akademik iaitu Anugerah Tuanku Canselor kepada Siti Nurzulaikha Zulkifli, 24 ; Anugerah Menteri Besar Perak kepada Nur Mashitah Awang Kecil, 25 ; Anugerah Naib Canselor USAS kepada Humaira Mohd Hussin, 22; Anugerah Terbaik FPISS kepada Sakinah Dhaniah Mohamad Tarmizi, 24, dan Nur Zulaikha Zulkipli, serta Anugerah Terbaik FPTM kepada Shahirah Shamsudin, 23 dan Nor Aquilla Annisya Nor Azmi, 21.

Terdahulu Wan Sabri dalam sembah ucapannya berkata istiadat konvokesyen selama dua hari bermula hari ini itu menganugerahkan ijazah dan diploma kepada 1,798 orang graduan.

Beliau berkata ia melibatkan tujuh penerima Ijazah Doktor Falsafah, 36 penerima Ijazah Sarjana, 14 penerima Diploma Pascasiswazah, 768 penerima Ijazah Sarjana Muda, dan 973 penerima Diploma.

Beliau berkata pada tahun ini USAS menyambut Jubli Perak, mengiringi perjalanan 25 tahun yang penuh cabaran, kejayaan dan transformasi.

"Istiadat Konvokesyen hari ini menyaksikan USAS telah berjaya melahirkan seramai 14,045 orang graduan sejak konvokesyen pertama pada tahun 2002," katanya.

-- BERNAMA