PUTRAJAYA : Pembangunan negara tidak boleh lagi dipandang enteng dalam mendepani pelbagai cabaran global yang meningkat di peringkat nasional dan dunia, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Sultan Nazrin bertitah, dunia memerlukan pendekatan pembangunan baharu yang berani dan inovatif untuk menangani kemelut yang semakin kompleks.

Baginda bertitah, kemajuan tidak harus diukur hanya berdasarkan kuantiti barangan yang dihasilkan, tetapi juga kualiti hidup masyrakat.

"Dunia kini dicengkam ketidakpastian politik, ekonomi, dan alam sekitar.

"Ketegangan geopolitik memarakkan konflik, kelaparan global meningkat, jurang kekayaan semakin melebar, dan pemindahan paksa mencatatkan angka tertinggi dalam sejarah.

"Perubahan iklim akibat perbuatan manusia terus memburukkan keadaan, dengan lebih 1.7 bilion orang terkesan akibat cuaca ekstrem dalam sedekad yang lalu.

"Pola ini memerlukan pendekatan pembangunan baharu yang berani dan inovatif untuk menangani cabaran global yang semakin kompleks," titah Sultan Nazrin dalam Titah Diraja sempena Festival Idea Putrajaya, di sini, hari ini.

Titah baginda lagi, terdapat singkatan untuk mengambarkan keadaan ini iaitu VUCA.

VUCA, titah baginda membawa maksud Volatility (Kemelut), Uncertainty (Ketidaktentuan), Complexity (Kerumitan), dan Ambiguity (Kesamaran).

Baginda turut optimis kesemua kemelut itu dapat ditangani sekiranya terdapat iltizam politik daripada para pemimpin.