Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jen (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata Sultan Nazrin, berbesar hati untuk menjamu semua prospek daripada pembiayaan sendiri atas sifat dan ihsan baginda.
Beliau berkata makanan yang dihidang itu agak istimewa iaitu nasi minyak, ayam masak merah, kurma kambing dan dalca, berbeza dengan makanan harian mereka.
"Kesemua jumlah peruntukan yang dikeluarkan baginda berjumlah RM93,600 untuk hidangan makanan tengah hari di Penjara Tapah, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting, Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan Rumah Perantaraan penjara negeri Perak (Kinta dan Taiping).
"Bagi Pusat Koreksional Kamunting ini, baginda peruntukkan RM16,800 bagi 1,200 prospek di sini dan semua hidangan makanan akan dikelolakan oleh pihak Jabatan Penjara Perak," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-68 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di Pusat Koreksional Kamunting, yang turut dihadiri Pengarah Penjara Negeri Perak Timbalan Komisioner Penjara C. Charin Promwichit.
Mohd Zahidi turut memaklumkan simbolik penyerahan pemberian baginda di kesemua penjara dan pusat pemulihan serta koreksional, akan diwakili oleh Orang Besar Jajahan (OBJ) kawasan masing-masing.
"Orang Kaya-Kaya Panglima Kinta Seri Amar Bangsa DiRaja (Orang Besar Jajahan Kinta) akan mewakili baginda di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah dan YDH Toh Paduka Indera (Orang Besar Jajahan Batang Padang) akan mewakili baginda di Penjara Tapah.
"Orang Kaya Menteri Paduka Tuan (Orang Besar Jajahan Larut, Matang dan Selama) akan mewakili baginda di Penjara Taiping dan ini merupakan tahun kedua Baginda berkenan membiayai hidangan untuk prospek," katanya.
Sementara itu, Charin Promwichit berkata pihaknya menjunjung kasih dan berterima kasih atas kurniaan serta segala kecaknaan dan keprihatinan baginda, yang mengambil berat tentang kebajikan prospek.
Selain itu, Penjara Taiping dalam kenyataan memaklumkan Orang Besar Jajahan Larut Matang dan Selama, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Datuk Seri Wan Mohd Isa Wan Mohd Razali menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan kepada Penghuni Penjara Taiping, sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Perak Bagi Tahun 2024.
Penjara Taiping memaklumkan majlis yang turut dihadiri Pengarah Penjara Taiping Penolong Kanan Komisioner Penjara Nazri Mohamad itu, melibatkan seramai 28 penghuni terdiri daripada prospek Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3.
-- BERNAMA