KUALA LUMPUR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan melancarkan buku bertajuk Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia's Future Through His Lenses, sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak, yang juga digelar 'Bapa Pembangunan Malaysia'.

Buku itu yang disunting oleh Prof Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah, Tan Sri Kamal Salih, Prof Madya Dr Hafriza Burhanudeen dan Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail, memberikan perspektif baharu yang berharga mengenai sumbangan Tun Abdul Razak dan menghuraikan kepentingan berterusan dasar, keputusan dan tindakan beliau dalam memajukan Malaysia.

Dalam titah pada majlis pelancaran itu, Sultan Nazrin mengalu-alukan pendekatan yang diambil dalam penerbitan buku berkenaan, yang mengambil inspirasi daripada Tun Abdul Razak untuk membantu pembaca menghadapi cabaran pada masa ini.

"Buku itu adalah warisan yang bernilai kepada Bapa Pembangunan kita, dan naskhah yang sangat membina," titah Sultan Nazrin.

Berangkat sama ke majlis itu Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Turut hadir Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadi dan Pengerusi Yayasan Tun Razak Tan Sri Nazir Razak.

Sultan Nazrin Shah hari ini berkenan melancarkan buku bertajuk Tun Abdul Razak: Imagining Malaysia's Future Through His Lenses, sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri Kedua Allahyarham Tun Abdul Razak. - Foto BERNAMA

Sultan Nazrin bertitah buku berkenaan menekankan satu pengajaran penting iaitu kepentingan mengamalkan pendekatan jangka panjang dalam pembangunan.

"Tun Abdul Razak mengabdikan seluruh hidupnya kepada perkhidmatan awam. Dari saat beliau memegang jawatan awam pada 1950-an hingga saat pemergian beliau pada 1976, beliau bekerja keras membangunkan negara dalam apa yang boleh dikatakan sebagai asas kepada pembangunan negara kita," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah bahawa buku mengandungi 14 bab itu memberikan penerangan mengenai pilihan dasar utama dan dilema dihadapi Malaysia hari ini serta cabaran bakal ditempuh pada masa depan yang tidak menentu.

Buku itu turut memberikan pandangan pelbagai bidang merangkumi agronomi hingga pendidikan selain menekankan kepentingan memanfaatkan kemajuan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) untuk memperkukuh universiti.

"Buku ini secara ringkasnya, mempunyai visi yang tinggi untuk Malaysia, ia juga memberikan panduan tentang tindakan terperinci dan praktikal yang diperlukan untuk merealisasikan visi berkenaan - gabungan antara usaha keras dan inovasi yang diperlukan untuk mencapainya. Itulah sebenarnya semangat Tun Abdul Razak.

"Satu ungkapan yang amat menarik perhatian saya ialah seruan dalam buku ini untuk 'semangat penilaian dan penentukuran berterusan' dalam perjalanan pembangunan kita," titah Sultan Perak.

Sultan Nazrin bertitah ini mencerminkan pemahaman Tun Abdul Razak bahawa mewujudkan Malaysia yang bersatu ia memerlukan "penyesuaian dan penyelarasan semula," mengingatkan kita bahawa sehebat atau secemerlang mana sekali pun, satu rancangan besar hanya tetap rancangan.

"Kita perlu sentiasa menyemak dan menilai pelaksanaannya, melakukan penyesuaian dan menyemak semula seiring perjalanan, serta bersedia untuk melakukan perubahan yang diperlukan di pertengahan jalan bagi menyesuaikan dengan keadaan yang berubah.

"Sama ada dalam aspek tata kelola yang baik dan ketelusan, berkaitan dengan ekonomi, atau alam sekitar, kita tidak boleh menunggu sehingga berlaku krisis sebelum mengambil tindakan berani dan positif.

"Sebaliknya kita perlu sentiasa berusaha untuk membangunkan peraturan alam sekitar, inovasi dalam pendidikan serta garis panduan teknologi yang diperlukan untuk mempersiapkan kita dengan lebih baik dalam menghadapi cabaran masa depan," titah baginda.

Baginda bertitah Tun Abdul Razak juga dikenang sebagai seorang pemimpin yang menggalakkan perdamaian, dengan dengan memupuk usaha pendamaian di dalam negara, serantau, dan antarabangsa, serta membina hubungan kukuh antara komuniti di Malaysia, dalam hubungan dua hala, dan melalui inisiatif serantau.

"Sesungguhnya, tahun ini menandakan ulang tahun ke-50 bagi satu daripada legasi terbesar beliau, iaitu perintis hubungan diplomatik dengan China, negara pertama di Asia Tenggara yang berbuat demikian. Sebagai sebahagian daripada visi untuk masa depan dunia yang aman dan makmur, beliau mendukung pendirian berkecuali bagi rantau ini," titah Sultan Nazrin.

-- BERNAMA