KUALA LUMPUR: Budaya rasuah, ketirisan dan salah guna yang dilaporkan berlaku ketika ini sesuatu yang mengaibkan negara.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perbuatan itu menyebabkan rakyat terpaksa menanggung beban dengan menyifatkan ia ibarat barah yang merosak anatomi negara.

“Ketika ini amatlah mengaibkan negara dan sangat membimbang rakyat jelata, perlakuan-perlakuan rasuah, ketirisan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang dilaporkan berlaku.

“Perbuatan-perbuatan tersebut ibarat barah yang sedang merosakkan anatomi negara, mengakibatkan rakyat menanggung beban yang berat untuk memurnikan kecelaruan yang sedang dihadapi,” titahnya.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) bertitah demikian dalam sidang pertama Istiadat Konvokesyen UM ke-64, di sini, pada Sabtu.

Jelas baginda, ia perlu diatasi melalui tadbir urus yang berasaskan nilai untuk dijadikan teras dalam membentuk budaya kerja menjangkaui batasan kaum dan agama.

“Setiap insan mesti meletakkan pekerjaan sebagai amanah yang perlu dilakukan dengan cara terbaik dan insaf, setiap pekerjaaan akan dipertanggungjawab oleh Allah pada hari kebangkitan nanti,” titah baginda.

Dalam masa sama, Sultan Nazrin mengingatkan bahawa tanggungiawab universiti tidak lengkap jika sekadar menghasilkan graduan yang ramai tanpa dihiasi nilai manusiawi.

“Universiti juga bertanggungjawab membentuk karakter dan membina jiwa insaniah graduan secara menyeluruh.

“Aspek yang lebih penting adalah kejayaan universiti memupuk dan menyemai nilai murni dalam setiap graduan agar memiliki kekuatan dalaman dan memahami aspek etika, moral, akauntabiliti serta integriti apabila dipertanggungjawab dengan amanah,” titahnya.

Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali ke-64 mula berlangsung hari ini sehingga 8 Disember melibatkan 16 sidang bagi meraikan kejayaan seramai 9,253 graduan.

Daripada jumlah itu, seramai 598 adalah graduan ijazah doktor falsafah, 3,079 graduan ijazah sarjana dan diploma pascasiswazah, 4,241 ijazah sarjana muda dan 1,335 graduan diploma eksekutif serta diploma.