KUALA LUMPUR: Berikut adalah titah penuh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-64 di sini hari ini:

Salam  Sejahtera

Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali ke-64, melibatkan 16 sidang akan berlangsung dari 30 November sehingga 8 Disember 2024.  Seramai 9,253 graduan yang telah memenuhi kriteria akademik, layak dianugerahkan ijazah dan diploma; 598 graduan akan menerima ijazah Doktor Falsafah, 3,079 graduan ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah, 4,241 graduan ijazah Sarjana Muda, dan 1,335 graduan Diploma Eksekutif dan Diploma.

2.    Alhamdulillah, Universiti Malaya berjaya melonjakkan kedudukan ke tahap 60 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2024. Universiti Malaya juga berjaya menduduki tempat ke-12 di Asia, dan terus unggul sebagai universiti terbaik di Malaysia. Pencapaian ini berjaya menempatkan Universiti Malaya dalam peta institusi pendidikan, setanding dengan universiti-universiti terkemuka di dunia.  Semoga pencapaian ini berupaya menarik minat lebih ramai pelajar dari serata dunia untuk datang menimba ilmu dan memperolehi kemahiran di sini. Beta zahirkan ucap tahniah atas kecemerlangan yang telah dicapai melalui usaha berfokus dan gandingan kerja lembaga pengarah, tenaga akademik, tenaga pengurusan, tenaga sokongan dan para mahasiswa hingga berjaya mengharumkan nama Universiti Malaya.

3.    Dalam bersiap siaga mendepani cabaran zaman yang semakin kompleks, Universiti Malaya menyemaikan semangat melalui slogan "Home of the Bright, Land of the Brave" atau "Di sini Bermulanya Pintar, Tanah Tumpahnya Berani." Slogan ini merangkumi intipati utama Universiti Malaya dan hendaklah difahami dan dihayati oleh warga universiti agar segala matlamat dapat dicapai. “Pintar” mendukung maksud kebijaksanaan atau keahlian dalam semua aspek, sementara “berani” pula merujuk kepada kecekalan dan keyakinan untuk mencuba sesuatu yang mencabar dengan kebijaksanaan yang ada, serta bersedia mengharungi perubahan yang positif.  Pintar dan berani dijadikan pegangan untuk menangani cabaran.  Semoga para graduan yang mendapat asuhan dan didikan di universiti ini, memiliki sifat-sifat pintar dan berani ketika menghadapi kehidupan sebenar di luar alam universiti.

4.    Setelah dengan tekun dan gigih, melalui bimbingan dan asuhan di alam universiti, para graduan kini tergolong sebagai insan berilmu.  Insan yang benar-benar mengerti alam ilmu akan menjadi insan yang insaf akan kekurangannya, akan bersifat merendah diri dan tidak riak; menginsafi apa juga pencapaian yang diperoleh pada hari ini, menyedarkan kita bahawa sebenarnya kita masih berada di persisiran dan di permukaan ilmu kerana lautan ilmu itu terlalu luas dan terlalu dalam.  Kembalilah kita dalam melayani riang kejayaan ini, menginsafi akan sifat-sifat lemah seorang hamba di sisi Penciptanya.  Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Mulk, ayat 15, bermaksud:

"Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah di merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan (ingatlah), kepada Allah jugalah (tempat kembali kamu sesudah) dibangkitkan hidup semula; (maka hargailah nikmat-Nya dan takutilah kemurkaan-Nya)."

5.    Menurut hukum sunnatullah, rezeki hanya dapat diperoleh melalui usaha dan kerja, sejajar dengan ajaran Islam yang mendorong umatnya untuk melakukan pelbagai usaha dan kerja untuk memperoleh rezeki. Berusaha dan bekerja untuk memperoleh rezeki dipandang sangat mulia oleh Islam; dianggap sebagai ibadah malah boleh sampai ke tahap berjihad, dengan syarat dilakukan secara ikhlas, jujur dan amanah dan tidak lalai daripada mengingati Allah Subhanahu Wata’ala dan hari akhirat.

6.    Ketekunan dalam setiap usaha dan kegigihan dalam setiap bidang kerja yang diceburi amat penting dalam hasrat menyempurnakan tuntutan agama, dalam usaha mahu membantu membangunkan negara serta masyarakat, dan dalam memenuhi tanggungjawab terhadap keluarga. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang melakukan pekerjaan dengan baik dan teliti" (Riwayat Imam al-Baihaqi).

Oleh itu, setiap insan mesti meletakkan pekerjaan sebagai amanah yang perlu dilakukan dengan cara terbaik, dan insaf bahawa setiap pekerjaan akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah Subhanahu Wata’ala pada hari kebangkitan nanti.

7.    Memahami tanggungjawab insani terhadap Dia Yang Maha Mencipta, tanggungjawab universiti tidak lengkap jika sekadar menghasilkan bilangan graduan yang ramai.  Universiti juga bertanggungjawab membentuk karakter dan membina jiwa insaniah graduan secara menyeluruh.  Aspek yang lebih penting adalah kejayaan universiti memupuk dan menyemai nilai murni dalam diri setiap graduan, agar memiliki kekuatan dalaman dan memahami aspek-aspek etika, moral, akauntabiliti, serta integriti apabila dipertanggungjawabkan dengan amanah.

8.    Ketika ini, amatlah mengaibkan negara, dan sangat membimbang rakyat jelata, perlakuan-perlakuan rasuah, ketirisan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang dilaporkan berlaku.  Perbuatan-perbuatan tersebut ibarat barah yang sedang merosakkan anotomi negara, mengakibatkan rakyat menanggung beban yang berat.  Untuk memurnikan kecelaruan yang sedang dihadapi, sistem pentadbiran, tadbir urus, dan tatakelola atau governans yang berasaskan nilai, prinsip, dan amanah perlu dijadikan teras dalam membentuk budaya kerja, menjangkaui batasan kaum dan agama, status sosial dan status ekonomi.

Para graduan yang bakal dianugerahi ijazah,

9.    Kejayaan anda pada hari ini tidak dicapai dengan mudah, tetapi dicapai melalui disiplin, kerajinan, kesungguhan dan ketabahan.  Warga akademik secara sabar dan tekun telah membimbing dan mengasuh anda, warga pengurusan dan sokongan telah berusaha sebaik mungkin mewujudkan suasana ilmu yang selesa, dan ibu bapa serta ahli keluarga telah melakukan pelbagai pengorbanan, dorongan dan doa tanpa henti.  Hargai jasa dan pengorbanan mereka dengan memperlihatkan sifat insan yang memiliki budaya bersyukur dan budaya berterima kasih.

10.    Kepada graduan dan anggota keluarga, ahli Lembaga Pengarah, warga akademik, warga pengurusan dan warga kerja Universiti Malaya, Beta menzahirkan penghargaan dan ucap tahniah atas segala usaha dan tenaga membolehkan Konvokesyen Universiti Malaya kali ke-64 dapat dilangsungkan.  Semoga Istiadat pada hari ini mendapat rahmat dan keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.  Aamiin ya Robbal ‘Aalamiin.