KOTA KINABALU: Kerajaan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM1.06 bilion bagi membangunkan 224 projek infrastruktur di Sabah pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata projek itu antara lain melibatkan Jalan Luar Bandar (JALB), Jambatan Luar Bandar (JMLB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Projek Pemajuan Kawasan (PPK).

Beliau berkata berdasarkan pengalaman terdahulu, terdapat banyak projek mengalami kekangan untuk perlaksanaan di Sabah, justeru kerjasama erat antara kerajaan Persekutuan dan negeri penting untuk mengatasi kekangan atau halangan yang dihadapi.

"Keputusan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) projek RM50 juta ke bawah dilaksanakan kerajaan negeri, RM50 juta ke atas dilaksanakan KKDW dan agensi pelaksananya Jabatan Kerja Raya jadi penyelarasan ini mesti dilakukan.

"Ini supaya pemegang taruh merasakan terdapat penyelarasan antara kerajaan negeri dan KKDW. Itu sebabnya kita panggil mesyuarat untuk selaraskan antara menteri atau exco menjaga luar bandar ini supaya kita dapat bersama-sama membantu kami bagi melaksanakannya (projek tersebut)," katanya.

Ahmad Zahid berkata peruntukan pembangunan bagi Exco-exco Luar Bandar dinaikkan kepada RM750,000 tahun ini berbanding RM500,000 tahun lepas bertujuan memastikan penduduk luar bandar sentiasa mendapat manfaat daripada program yang dirancang kerajaan.

"Exco kita berikan peruntukan tambahan ini untuk melaksanakan projek mengikut kumpulan sasaran di negeri masing-masing iaitu projek infrastruktur dan amenity RM750,000 seorang exco, jadi saya harap mereka tidak hantar wakil sahaja pada mesyuarat akan datang, keseriusan itu perlu ada," katanya.

Beliau berkata mesyuarat hari ini turut menjemput pihak Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara bagi menyelaras usaha pendidikan TVET dan disebar luas kepada anak-anak di kawasan luar bandar.

"Sambutan TVET sangat luar biasa. Kebolehpasaran graduan TVET tahap nasional adalah 94.5 peratus, manakala bagi graduan institusi KKDW sendiri adalah 98.7 peratus. Ertinya kursus kita (KKDW) lakukan itu sesuai untuk permintaan pasaran," katanya.

Pada mesyuarat itu juga, empat kertas telah dibentangkan iaitu Kertas Hasil Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB), Kertas Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Kertas Program Sejati Madani, serta Kertas Pelaksanaan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2.

Sementara itu, KKDW dalam kenyataan memaklumkan kementerian berkenaan telah menerima peruntukan keseluruhan RM1.41 bilion bagi Sabah, dengan RM1.06 bilion untuk projek infrastruktur, peningkatan RM290.1 juta atau 20 peratus berbanding tahun lepas.

"Ini merupakan peruntukan tertinggi berbanding negeri lain. Peruntukan ini melibatkan 295 program atau projek terdiri daripada 70 program atau projek baharu dan 225 program atau projek sambungan dengan kos keseluruhan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) berjumlah RM17.8 bilion," katanya.

-- BERNAMA