Perkara itu dinyatakan Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, pada Ahad.
"Reman disambung sehingga 10 Januari 2025," katanya secara ringkas dalam satu kenyataan.
Pada Sabtu, media melaporkan polis masih menyiasat motif pembunuhan remaja perempuan terbabit yang mayatnya ditemui reput di Kampung Rancangan Tanah Belia (RTB) Sungai Changgang, Banting, minggu lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan antara motif yang disiasat ketika ini.
Bagaimanapun katanya, polis masih menunggu laporan dan keputusan toksikologi dan berdasarkan ujian saringan air kencing terhadap ketiga-tiga suspek termasuk teman lelaki mangsa berusia 16 tahun adalah negatif.
Katanya, polis juga percaya pembabitan teman lelaki mangsa dalam pembuangan mayat dan siasatan masih dijalankan jika ada individu lain yang membantu suspek membuang mayat.
Media sebelum ini melaporkan kehilangan Xin Yuan sejak 19 Disember lalu terbongkar apabila mayatnya ditemui dalam keadaan reput di perangkap sampah Kampung RTB Sungai Changgang, Banting pada 30 Disember lalu.
Remaja itu hilang selepas menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang Batu 11, Cheras, 19 Disember lalu dengan polis menerima laporan kehilangan dibuat oleh keluarga mangsa pada jam 2.15 pagi, sehari selepas kejadian.
Sebelum ini, polis menahan tiga lelaki berusia 16, 20 dan 51 tahun termasuk teman lelaki mangsa.