JERTIH: Seorang lelaki direman empat hari bagi membantu siasatan kes penipuan wang jualan padi kepada pesawah di lapan kampung di Hulu Besut di sini.

Perintah reman hingga Isnin terhadap lelaki berusia 38 tahun itu dikeluarkan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud di Mahkamah Sesyen Besut bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dijalankan.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Amaruddin Ahmad @ Abu berkata suspek berasal dari Perlis itu ditahan di sekitar daerah ini pada 8 pagi semalam.

"Suspek ditahan susulan laporan oleh petani pada Rabu lepas yang mendakwa dia menipu mereka dengan tidak membuat bayaran padi yang dibeli, membabitkan kerugian RM124,101.

Semalam, Bernama melaporkan lebih 20 pesawah dari lapan kampung di Hulu Besut di sini terpaksa menyambut Aidilfitri tahun ini dalam suasana suram selepas hasil jualan padi mereka tidak dibayar oleh sebuah syarikat pembeli yang beroperasi di Kampung Telaga Nibong di sini.

Wakil pesawah Nasuhaimi Mat Salleh, 40, berkata lapan kampung yang terlibat ialah Kampung Gong Duek, Kampung Gong Tanah Merah, Kampung Telaga Nibong, Kampung Padang Baloh, Kampung Baruh Kual, Kampung Masin, Kampung Darau dan Kampung Oh.

-- BERNAMA