KUALA LUMPUR: Pilu pasti menyentuh hati perantau menjelang Ramadan dan Syawal, rindu berpanjangan kepada keluarga, sanak-saudara dan rakan taulan yang berada nun jauh di tanah air tercinta, Malaysia.

Begitulah perasaan yang dikongsi Azira Aziz, Irwan Dahnil dan Azlin Mohamed dengan Bernama baru-baru ini.

Masing-masing mempunyai kisah tersendiri dan semestinya berada di perantauan mewarnai liku-liku kehidupan dan menambah pengalaman.

Azira,39, yang menetap di Oslo, Norway sejak tahun 2011 kerana mengikuti suaminya, Faizul Akmal Ahmad Rodi, seorang jurutera, berkata, beliau bukan sekadar suri rumah menemani suami tetapi memanfaatkan kesempatan, antaranya mempelajari bahasa tempatan, iaitu Norsk.

Beliau yang berasal dari Parit, Perak mengambil masa tujuh bulan untuk menguasai bahasa itu dan kini bekerja sebagai pembantu tadika atau digelar "Barnehageassistent".

"Tujuan saya mempelajari bahasa Norsk kerana saya ingin mendalami budaya orang Norway dan secara tidak langsung ia dapat membantu saya dari segi sosial. Kelebihan apabila dapat bertutur bahasa ini kita tidak dipinggirkan jika berada bersama masyarakat Norway.

"Selain itu anak-anak juga pergi ke sekolah Norsk maka ibu bapa diharuskan belajar bahasa berkenaan untuk lebih mudah berurusan dengan pihak sekolah," kata ibu kepada dua orang cahaya mata, berusia 12 dan sembilan tahun.

BERPUASA 20 JAM

Bulan Ramadan di perantauan mempunyai cabaran tersendiri terutamanya perlu berpuasa untuk tempoh yang panjang.

Kongsi Azira, beliau pernah berpuasa selama 20 jam beberapa tahun lepas dalam cuaca panas dengan suhu sekitar 21 hingga 31 darjah celcius sehingga menyebabkan kulit menjadi kering.

"Namun tahun ini syukur kerana bulan puasa jatuh pada musim peralihan antara musim sejuk kepada musim bunga. Hari pertama puasa sekitar 14 jam, hari keempat tempoh puasa berubah kepada 15 jam akibat "daylights saving", dan akan mengalami puasa yang panjang sekitar 18 jam pada hari terakhir Ramadan.

"Pada ketika ini suhu di Oslo hanya sekitar -5? hingga +11?celcius menyebabkan rasa selesa untuk berpuasa, jadi rasa lapar dan haus itu kurang berbanding semasa berpuasa 20 jam satu ketika dulu," katanya menambah masjid di negara itu banyak dibuka untuk program iftar dan tarawih.

Mengenai sambutan Aidilfitri, Azira berkata, lebaran diraikan sehari sahaja kerana kebanyakan warga Muslim di Norway berasal dari Timur Tengah yang lebih meraikan Ramadan berbanding Syawal.

"Bagaimanapun, bagi orang dari Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura, Ramadan dan Syawai diraikan dengan penuh meriah, termasuk mengamalkan aktiviti kunjung-mengunjungi antara satu sama lain.

"Bagi saya dan keluarga, meskipun berjauhan daripada orang tersayang di kampung, kami masih menyambut hari raya dengan rasa gembira walaupun perasaannya tidak sama seperti di Malaysia," katanya yang akan memasak juadah raya seperti rendang ayam, daging masak hitam, kuah kacang bersama nasi impit serta lemang segera di pagi Syawal.

Selain itu, Azira turut menyediakan hidangan nasi lemak, bihun sup, bakso serta biskut raya 'simpul kasih', suji serta air cendol.

"Pada hari raya pertama kami akan menunaikan solat sunat hari raya kemudian menjamu selera di Kedutaan Indonesia. Selepas itu saya akan mengadakan rumah terbuka," katanya yang menyukai laksa mee Perak dan nasi lemak daun lemuni.

Ditanya memori yang menggamit rasa rindu saat tibanya lebaran semasa beraya di Malaysia, Azira berkata, beliau amat merindui aktiviti memasang pelita di halaman rumah, bertarawih bersama rakan di masjid dan bermain bunga api.

Menyentuh tempoh sasaran untuk menetap di luar negara, Azira berkata, beliau tidak pasti kerana hanya mengikut suami dan berkemungkinan akan pulang ke Malaysia apabila suaminya bersara nanti.

"Walau berapa lama pun di perantauan, saya tetap rindukan Malaysia. Rindu suhu panas dan pantai Malaysia yang indah serta keramahan rakyatnya. Sudah tentu paling dirindui adalah makanan tempatan sebab teringin apa-apa makanan, semuanya ada.

"Duduk di luar negara jika teringin kena masak sendiri," jelasnya dan menitipkan pesanan kepada mereka yang ingin menetap jauh di perantuan perlu bersedia daripada aspek mental dan fizikal serta menjaga jaga tingkah laku dan nama baik Malaysia.

Meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Sabah dan kemudian mengambil keputusan mengembara ke seantero dunia memberikan kepuasan berganda buat Irwan Dahnil, 47.

Beliau yang berasal dari Selayang, Selangor, berkata, keputusan menukar kerjaya kepada ketua pelancong (tour leader) ternyata tepat kerana bidang baharu yang diceburi memberinya peluang meneroka banyak negara.

"Kini sudah hampir 10 tahun saya terlibat sebagai ketua pelancong secara profesional. Bermula secara sambilan iaitu membawa tetamu melancong ke seluruh Eropah ketika ada masa lapang semasa cuti semester universiti. Tanpa saya rancang, permintaan semakin meningkat dan membuka peluang untuk terlibat dalam perniagaan inap desa (homestay) dan juga pengangkutan di United Kingdom.

"Ini termasuk menguruskan pelancong dan pelajar di seluruh Eropah," katanya, yang mula berhijrah ke luar negara sejak tahun 2015 ketika berpeluang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di University of Glasgow semasa berumur 36 tahun.

Bagi Irwan, keputusan untuk berhijrah adalah antara keputusan yang paling sukar namun menyifatkan ia satu tindakan terbaik pernah dibuat tanpa seribu penyesalan.

"Hidup dalam keadaan terlalu selesa ibarat membunuh kemajuan. Sebaliknya, saya sentiasa percaya bahawa hidup ini perlukan cabaran baharu yang membawa perubahan untuk terus maju dan berkembang.

"Ia adalah peluang untuk kita melihat dunia ini luar daripada kekotak pemikiran yang sama, menghargai perbezaan serta ia pengalaman yang menjanjikan keinsafan dari setiap kejadian kebesaran Tuhan," katanya menambah, negara yang termasuk dalam senarai pelancongan yang diuruskannya adalah Switzerland, Iceland, Scotland dan United Kingdom.

PUASA YANG MENCABAR

Bercerita mengenai amalan berpuasa sepanjang berada di negara orang, Irwan berkata berpuasa ketika musim panas semasa di Scotland adalah detik paling mencabar buatnya berikutan masa siang yang panjang.

"Ketika itu, puasa melebihi 21 jam dan waktu berbuka pula pada pukul 10 malam. Bayangkan malam yang pendek, terkejar pula mengerjakan solat maghrib dan isyak sebelum solat tarawih. Belum pun rasa makanan turun di perut, terus sahaja bersahur kerana waktu subuh masuk pukul 3.30 pagi, senak perut!" katanya.

Mengenai iftar di masjid, Irwan berkata, antara menu yang disediakan ialah nasi dan susu yang dihidangkan di atas satu hamparan tikar panjang dan dinikmati bersama umat Islam lain daripada pelbagai keturunan.

"Saat itu terasa benar agama Islam itu indah, bila berada dalam kesatuan umat yang tidak dibezakan daripada segi warna kulit, bahasa dan keturunan. Di sini memang tiada bazar Ramadan, tiada juadah manisan tepung pelita seperti di Malaysia.

"Berpuasa di luar negara benar-benar mengajar saya erti kecukupan," katanya mengakui menyambut Ramadan di perantauan tidak semeriah di Malaysia.

Bagi sambutan hari raya pula, beliau berkata pengalaman berhari raya di perantauan antara pengalaman yang unik dan sentiasa diingati.

"Kebiasannya, komuniti Melayu Malaysia yang turut berada di sini akan bergotong royong untuk persediaan berhari raya. Masing-masing akan menyediakan juadah dan kami akan berkumpul selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri. Kemeriahan itu tetap terasa, walau dalam kumpulan yang kecil.

"Bagi juadah pula, hampir semua menu yang kami rindui ada disediakan seperti ketupat, rendang, lemang sehinggalah kuih tradisional. Berada dalam lingkungan komuniti Malaysia akan sentiasa mahukan juadah ini kerana ia mampu mengimbau kenangan dan mengubati kerinduan pada tanah air," katanya yang berada di Switzerland semasa ditemu bual Bernama menerusi WhatsApp.

Ketika takbir bergema sudah tentu memori di kampung halaman tercinta sering bertandang di hati Irwan. Nostalgia sewaktu kecil ketika mengutip duit raya dari rumah ke rumah kemudian tersenyum riang bersama rakan-rakan mengira "hasil' kutipan duit raya yang diperolehi.

"Walau bagaimanapun, budaya ini mungkin sudah berubah dan tidak lagi ada di bandar besar. Hari raya saya selalu merindui lontong berkuah lodeh, rendang ayam dan hirisan dendeng masakan ibu saya," katanya yang merancang untuk pulang ke tanah air beberapa tahun lagi.

Menurut Irwan, jika mengikut perancangan asal, beliau mahu kembali menetap di Malaysia sebelum mencecah umur 50 tahun namun disebabkan pandemik COVID-19 menyebabkan hasrat itu terpaksa ditunda.

"Saya tidak mahu menetap di luar negara sehingga tua. Saya mahu luar negara ini sekadar menjadi taman permainan untuk saya terus menjelajah bumi Tuhan. Kehidupan saya sekarang seperti orang nomad dahulu kala, satu pagi saya di Zurich, berjalan tengahari di Milan dan makan malam terbang ke Paris. Atas tuntutan kerja sebagai tour leader, saya akan terus berada di destinasi berbeza di seluruh dunia," katanya.

REZEKI IBADAH DI BUMI MADINAH

Bagi Azlin Mohamed yang sudah tinggal di Madinah al-Munawwarah, Arab Saudi hampir 10 tahun, penghijrahannya itu suatu peluang dan rezeki untuk menggandakan amal ibadah apatah lagi berada di bumi yang digelar kota Nabi Muhammad SAW.

Bapa kepada tiga cahaya mata lelaki yang mula berpindah ke kota itu pada tahun 2014 bersama isterinya, Norhasimah Nimat yang bertugas sebagai jururawat di Hospital Madinah, kini mengusahakan perniagaan katering untuk jemaah umrah dan haji khasnya kepada jemaah dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei.

"Tujuan ke sini untuk mencari rezeki dan pengalaman. Sebelum ini, saya mengusahakan restoran di Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Dahulu isteri pernah menyuarakan pada saya untuk membuka katering bagi jemaah Malaysia memandangkan ketika itu agak sukar untuk mendapatkan makanan citarasa Malaysia dan kebanyakan katerer dari negara Thailand dan Indonesia," kata anak kelahiran Baling, Kedah itu.

Berkat kesabaran dan hasil duit simpanan, Azlin, 43, akhirnya berjaya membuka perniagaan itu di Madinah pada tahun 2017.

Selain memberikan perkhidmatan menerusi penyediaan makanan, Azlin berkata, rezeki yang tidak terhingga juga apabila dirinya dan keluarga dapat menunaikan ibadah umrah lebih kerap kerana menetap di bumi Anbiya itu.

SUASANA MERIAH

Berkongsi suasana berpuasa di Madinah, Azlin berkata, Ramadan di Madinah sememangnya meriah dengan ribuan manusia yang berebut-rebut mengejar pahala seperti bersedekah dan beribadat.

"Waktu bekerja dan sesi persekolahan pada bulan Ramadan juga berbeza di Arab Saudi. Kebiasaannya waktu pejabat bermula pada pukul 10 pagi sehingga 3 petang sahaja manakala waktu sekolah daripada pukul 9 pagi hingga 12 tengahari.

"Tujuan waktu bekerja yang lebih pendek bagi membolehkan masyarakat mengerjakan solat tarawih pada sebelah malam diikuti qiyamullail," katanya.

Untuk sambutan lebaran, Azlin berkata, hidangan tradisional masakan Melayu tetap kekal menjadi pilihan seperti rendang dan ketupat.

"Pada hari raya pertama selepas solat, kami akan menyediakan juadah hari raya dan mengundang sahabat handai datang ke rumah serta menziarahi rumah rakan lain pada sebelah malam.

"Cuma sejak dua tahun lepas, kami menganjurkan sambutan hari raya oleh Community Malaysia Madinah dan saya selaku ahli jawatankuasa membuat persiapan hari raya di ladang kurma pada hari raya kedua.

"Biasanya kami menjemput semua warga Malaysia yang berada di Arab Saudi termasuk jemaah umrah yang beraya di Madinah untuk sama-sama meraikan hari lebaran," katanya yang merindui ketupat pulut dan rendang kacang, air tangan arwah ibu.

-- BERNAMA