KUBANG PASU: Perasaan teruja untuk pulang ke kampung halaman setelah dua tahun tidak pulang pasti dinanti-nantikan terutama apabila ingin menyambut Syawal bersama keluarga tercinta.

Kesempatan itu tentunya merupakan suatu kegembiraan khususnya kepada perantau yang terpaksa berjauhan dengan keluarga kerana menetap dan bekerja di negeri lain.

Namun penat lelah memandu dari bandar raya bertukar menjadi ceria bagi anak rantau Kampung Nongka, Changlun, apabila kepulangan mereka disambut penduduk dengan ucapan “Selamat Pulang Beraya” dan diberi lemang sebagai bingkisan penghargaan.

Bagi Halimatom Saadiah Long, 38, bayangan wajah ibunya Mariam Osman, 64, menjadi semangat sepanjang perjalanan lebih sembilan jam dari Kuala Lumpur.

Dia yang bekerja di intitusi swasta berkata sudah dua tahun tidak merasa suasana bersesak di atas jalan raya.

"Seronok dua tahun tak boleh beraya, apabila boleh balik kampung ini rasa gembira sangat boleh jumpa keluarga.

"Perjalanan pun ok, semangat nak balik kampung, rasa seronok lah lagi semangat nak beraya," katanya.


Bagi Mariam Osman, segala persiapan dilakukan lebih awal sebaik mendapat tahu anaknya akan pulang beraya pada tahun ini.

Menurut ibu kepada empat anak ini, tiga daripada anaknya tidak dapat beraya bersama sebelum ini dan kepulangan mereka amat dinantikan.

Linangan air mata kegembiraan menyambut kepulangan anak bongsunya untuk melepaskan rindu.

"Seronok tak tau nak kata, ingat anak-anak balik berraya dengan kita dan bersama dengan kita.

"Mereka sampai dengan selamat dan balik pun dengan selamat. Doa mak ini kan untuk perjalanan anak sampai dengan selamat," katanya.

Kesenokan itu turut dikongsi Mohd Najmin Mat Rejab, 22, sebaik tiba disambut oleh rakan sekampung yang sekian lama terpisah.

Dia yang berkerja di Shah Alam bersyukur kerana selamat tiba di kampung halaman.

"Perjalan hari ini pun ok, kereta tak banyak lagi. Alhamdulillah perjalanan semua sampai dengan elok, sampai pulak sambut hujan ini berkat lah, rahmat lah.

"Terkejut juga sebab memang tak jangka tiba-tiba dapat lemang, lepas itu disambut dengan hias kampung macam ini, rasa macam teruja untuk berraya tahun ini," katanya.

Sementara itu bagi Ketua Anak Muda Kampung Nongka, Mohd Afzan Dahari, 34, segala persiapan diatur dengan rapi bagi menghias kampung dengan pemasangan lampu hiasan dan pelita minyak tanah.


Katanya, semangat yang ditunjukkan penduduk kampung amat dihargai.

Ada di antara mereka memberi sumbangan wang, pelita serta tenaga untuk menceriakan suasana kampung bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

"Pelita ini kami pasang dalam 80 pelita biji dengan lampu dalam 600 kaki," katanya.