Sarjan Azmi Abdul Rani, 53, yang bertugas di bahagian trafik IPD Shah Alam tiba di pusat mengundi kira-kira jam 10 pagi.
Beliau dibawa masuk dengan menggunakan kerusi roda ke tempat pengundian.
Sambil mengalirkan air mata, Azmi berkata, beliau sangat sedih apabila terpaksa mengundi dalam keadaan berkerusi roda.
“Saya sedih sangat, dulu saya mengundi dalam keadaan lain, tetapi sekarang saya datang mengundi dalam keadaan tidak upaya kerana OKU,” ujarnya kepada media di luar perkarangan dewan mengundi di sini pada Selasa.
Menurut kakitangan awam ini, beliau mahu mengundi wakil rakyat pilihan mereka dengan bijak.
“Pada anak-anak muda silalah mengundi dengan bijak,” katanya lagi.
Katanya lagi, keadaan seumapama itu tidak sekali-kali menghalangnya untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Azmi mengalami strok dan lumpuh separuh badan serta turut menghidap kencing manis dan darah tinggi.
Azmi adalah antara 1,818 anggota dan pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi kawasan P.108 Shah Alam yang mengundi awal pada Selasa.