KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu meneliti keberkesanan semua program pembangunan luar bandar yang dilaksanakan ketika ini bagi memastikan ia relevan dan menepati keperluan kumpulan sasar kini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ini kerana populasi penduduk di kawasan luar bandar kini telah berubah daripada 70 peratus penduduk pada sekitar 1960-an, kepada 30 peratus penduduk ketika ini.

"Ertinya berlaku 'social vertical mobility' dan 'horizontal mobility', yakni berlaku perpindahan, urbanisasi, status sosial mereka telah berpindah melalui pendidikan, dan adakah agenda kementerian ini harus statik atau jumud dalam perkara sama.

"Jadi mereka yang berada di subbandar harus didepani, mereka berada dalam kawasan pendesaan harus ditekuni sebab mereka perlu (infrastruktur) komunikasi, infrastruktur, TVET, pendidikan... kita harus merelevankan semua program mengikut cita rasa kumpulan sasaran, bukan mengikut cita rasa menteri kerana menteri datang dan pergi," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Ahmad Zahid turut menyentuh kepentingan koordinasi dalam pelbagai kementerian yang melaksanakan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi mengelak pertindihan serta memastikan keberkesanan kos.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan TVET berkata kini terdapat 11 kementerian yang melaksanakan program TVET dengan matlamat yang sama sehingga berlaku pertindihan program yang ditawarkan.

"Adakah ini 'cost effective'? Cukuplah zaman kita menyalahkan kementerian dan menteri sebelum ini, kita harus bergerak ke hadapan melibatkan bukan hanya TVET tetapi latihan lain, bagaimana struktur sosial dan sosial illness pemuda harus diatasi.

"Ini menjadi agenda saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sosial sebab saya cakap bukan hanya sekadar (berkaitan) sebuah kementerian, saya melihat keseluruhannya, dari segi jamaknya sebuah komuniti, sebuah negara Madani yang harus berpaksikan ketamadunan baharu," katanya.

-- BERNAMA