Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata dua suspek warga tempatan berusia 29 dan 31 tahun yang ditahan itu, dipercayai aktif beroperasi di sekitar Sentul dan Jinjang.
"Hasil siasatan di sebuah unit di kondominium itu, polis menemukan 1,982 peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), dengan anggaran berat 101,850 gram (g).
"Pasukan turut melakukan serbuan di dua lagi unit kediaman di kondominium itu dan merampas 196 peket plastik MDMA dengan anggaran berat 9,942g; 450 biji pil erimin 5 (124g); lima peket ekstasi (93.83g); lapan peket ketamin (242g), 45 biji pil yaba (4.51g), alat memproses dadah serta dua kunci kenderaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di sini hari ini.
Beliau berkata polis kemudian menemukan 11 peket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis MDMA seberat 542g di atas kerusi penumpang belakang sebuah kenderaan jenis Volkswagen Passat, yang diletakkan di parkir kondominium berkenaan.
Ahmad Sukarno berkata polis turut merampas empat kenderaan iaitu Toyota Alphard, Perodua Myvi, Honda Civic dan Suzuki Swift, yang dipercayai digunakan untuk menghantar dadah kepada pembeli dengan ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua lelaki berkenaan negatif dadah, selain tidak memiliki rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kedua-dua suspek direman bermula 19 Nov dan reman mereka yang berakhir hari ini telah disambung enam hari lagi dengan kedua-dua suspek adalah pengganggur," katanya dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti ahli-ahli sindiket yang masih bebas.
-- BERNAMA