GUA MUSANG: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan berjaya memindahkan seekor gajah jantan dewasa di kawasan kebun berhampiran Hentian Eco Rehat dan Rawat Lojing di sini Jumaat lepas.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata operasi pemindahan mamalia besar berkenaan dibuat selepas Perhilitan menerima aduan daripada penduduk pada 11 Nov lepas bahawa haiwan itu berkeliaran dan memusnahkan tanaman kebun di Lojing.

Beliau berkata Unit Tangkapan Gajah Negeri telah menjalankan pemantauan dan menangkap gajah liar berkenaan bersama kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lachang di Pahang.

"Tangkapan gajah liar ini telah melegakan penduduk di kawasan itu, seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk ekoran kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik haiwan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Hafid berkata pelepasan gajah liar ke habitatnya akan dijalankan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata tangkapan dan pemindahan gajah liar yang dilaksanakan hanya sebagai penyelesaian jangka pendek, kerana kawasan kebun berkenaan berhampiran dengan kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Lojing serta HSK Sungai Brooke.

"Populasi gajah liar di HSK ini dipercayai lebih 30 ekor dan pekebun-pekebun dinasihatkan mengambil langkah efektif seperti pembinaan parit atau Sistem Pagar Elektrik Gajah bagi mengurangkan gangguan mamalia itu," katanya.

-- BERNAMA