KUALA LUMPUR: MIMOS Berhad akan terus memacu inovasi dalam bidang tenaga lestari bagi menjadikan Malaysia sebagai peneraju teknologi hijau, kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohammad Yusof Apdal.

Beliau berkata agensi penyelidikan dan pembangunan negara itu menumpukan kepada aspek pembangunan panel solar lebih canggih, sistem grid pintar dan penyelesaian penyimpanan tenaga bagi menyokong keperluan tenaga masa depan.

Pada masa sama katanya, MIMOS akan memperkasakan teknologi angkasa untuk menyokong pembangunan industri angkasa yang semakin berkembang dalam negara.

"Tumpuan diberikan kepada teknologi satelit, komunikasi berasaskan angkasa dan sistem pemerhatian bumi bagi meningkatkan keupayaan negara dalam bidang angkasa," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Selain itu, Mohammad Yusof berkata agensi berkenaan akan menerajui penyelidikan dalam bidang komputerisasi, komunikasi dan keselamatan melalui penyelidikan teknologi kuantum termasuk pembangunan komputer serta teknologi pengesanan kuantum yang bertujuan memperkukuh keselamatan data dan sistem maklumat negara.

Beliau berkata MIMOS juga komited memastikan pembangunan, penerapan dan pengkomersialan teknologi canggih berimpak tinggi untuk daya saing ekonomi dan kemajuan masyarakat.

-- BERNAMA