Ringkasan AI
- Penjelasan kepada PAC: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengarahkan Pengerusi dan CEO Felcra Berhad untuk memberi penjelasan kepada PAC mengenai prestasi penjualan bangunan Komersial Semarak20.
- Cadangan Penjualan En-Bloc: Ahmad Zahid mencadangkan agar bangunan tersebut dijual secara keseluruhan (en-bloc) mengikut harga pasaran semasa untuk mengelakkan bebanan kewangan kepada Felcra.
- Pelaporan Berkala: KKDW komited untuk memastikan Felcra dan FPSB melaporkan status penjualan projek Semarak20 secara berkala kepada pengurusan tertinggi KKDW.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata adalah lebih mudah untuk menjual keseluruhan bangunan tersebut secara secara keseluruhan (en-bloc), mengikut harga pasaran semasa.
"Jadi saya akan minta Pengerusi Felcra dan juga CEO Felcra (Berhad) untuk memberikan penjelasan kepada PAC, agar PAC jangan tangkap muat sahaja maklumat yang diperoleh kerana Felcra membuat pinjaman untuk mendirikan kompleks berkenaan.
"Jika ia tidak dibayar maka ia akan melibatkan bebanan kewangan kepada Felcra," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB), di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan Exco-Exco Luar Bandar daripada seluruh negara.
Semalam, PAC dalam laporannya melahirkan kebimbangan dengan prestasi penjualan bangunan komersial tersebut dikendalikan Felcra Berhad, yang didakwa masih dalam status belum dijual dan cadangan itu hanya di peringkat perbincangan bersama pihak pembeli ketika ini.
Difahamkan, ada beberapa syarikat berpotensi dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu, menunjukkan minat untuk membeli Semarak20 melalui kaedah en-bloc.
Empat syarikat secara rasmi sudah menyatakan minat untuk pembelian secara keseluruhan bangunan tersebut dengan mengemukakan surat hasrat, namun FELCRA Properties Sdn Bhd (FPSB) masih menunggu pihak berkenaan membuat tawaran harga untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, KKDW menerusi maklum balas yang diterbitkan dalam laporan PAC, memberi komitmen untuk memastikan FELCRA dan FPSB melaporkan status penjualan projek Semarak20 secara berkala.
"Pelaporan itu akan dibuat kepada pengurusan tertinggi KKDW melalui mesyuarat jawatankuasa yang akan dipengerusikan Ketua Setiausaha atau timbalannya," menurut maklum balas itu.
-- BERNAMA