ALOR GAJAH: Kerajaan menaikkan peruntukan bagi membina rumah baharu di bawah Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) yang merupakan penjenamaan semula Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kos pembinaan rumah berkenaan dinaikkan kepada RM79,000 berbanding RM66,000 di Semenanjung manakala bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, kos meningkat kepada RM85,000 berbanding RM79,000.

"...manakala untuk baiki rumah, dulu RM15,000 kini dinaikkan kepada RM20,000 (bagi Semenanjung) dan untuk Sabah dan Sarawak serta Labuan, untuk baik pulih dulu RM17,000, kini naik kepada RM20,000.

"Di samping itu juga, keluasannya ditambah daripada 660 kaki persegi kepada 680 kaki bersegi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan Exco Luar Bandar dari seluruh negara.

Mengulas mengenai mesyuarat berkenaan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah memaklumkan terdapat cadangan daripada ahli mesyuarat agar sebuah taman didikan kanak-kanak (tadika) pendidikan khas yang khusus bagi kanak-kanak autisme dibina di setiap daerah.

Beliau berkata cadangan itu tidak boleh dilaksanakan serta-merta kerana melibatkan peruntukan kewangan yang besar namun tindakan susulan akan diambil berhubung perkara berkenaan.

Dalam pada itu, katanya inisiatif kerajaan Melaka memperkenalkan Kampung Digital dan Paramedik Komuniti (Parakom) boleh diperluas ke negeri-negeri lain selepas ini.

"Jadi mungkin kedua-dua inisiatif kerajaan Melaka ini boleh dilaksanakan untuk negeri-negeri lain juga terutama di kawasan luar bandar. Kita ucapkan terima kasih kepada kerajaan Melaka kerana menyumbangkan idea itu," katanya.

-- BERNAMA