Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, walaupun perselisihan faham itu tidak melibatkan parti politik, namun, polis tetap akan membuat pemantauan terhadap semua situasi yang boleh mencetuskan provokasi melampau serta menggugat ketenteraman awam dalam tempoh menjelang PRU15.
Beliau berkata, empat lokasi itu membabitkan dua insiden perselisihan faham serta perbalahan di Cheras dan masing-masing satu di Wangsa Maju dan Sentul.
"(Laporan) perselisihan faham yang kami terima ini bukan melibatkan parti politik dan lokasi yang dikenal pasti ini kami ambil perhatian, bagi mengelak sebarang perkara yang tidak diingini dalam tempoh PRU15 ini," katanya di sini hari ini.
Selain itu, Azmi berkata, pihaknya mengenal pasti 57 lokasi yang sering berlaku banjir kilat antaranya Jalan Sentul Manis, Jalan Klang Lama, Jalan Tun Razak, Kampung Chubadak Tambahan, Jalan Ampang serta Jalan Travers dan persiapan rapi dilakukan bersama agensi berkaitan supaya tindakan pantas dapat diambil bagi menghadapi situasi banjir pada bila-bila masa di kawasan berkenaan.
Sementara itu, di PULAU PINANG, jurucakap polis memaklumkan lebih 2,000 pegawai dan anggota polis akan bertugas di 13 pusat penamaan calon di negeri itu esok.
Menurutnya, penugasan itu bukan sahaja melibatkan lokasi pusat penamaan calon sahaja, malah juga di persekitaran berhampiran kawasan berkenaan bagi memastikan prosesnya berjalan lancar.
"Polis turut menutup beberapa jalan utama dan membuka lencongan haluan di 13 pusat penamaan calon bermula 6 pagi sehingga 12 tengah hari atau sehingga proses penamaan calon selesai. Orang ramai diminta mematuhi arahan pihak polis yang bertugas bagi memastikan kelancaran," katanya ketika dihubungi hari ini.
- BERNAMA