NIBONG TEBAL: Polis membuka kertas siasatan berhubung kes fitnah melibatkan seorang Ahli Dewan Negara di Pulau Pinang kononnya memaksa pengawal peribadinya yang beragama Islam memakan daging khinzir.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata polis menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada senator berusia 38 tahun itu pada 8.31 malam tadi.

"Lelaki itu membuat laporan polis selepas dia menerima panggilan telefon daripada seorang individu bertanyakan mengenai dakwaan bahawa pengawal peribadinya membuat laporan polis terhadapnya kerana memaksa memakan daging khinzir.

"Dakwaan itu telah dinafikan oleh senator terbabit, malah pengawal peribadinya juga turut membuat laporan polis untuk menafikan tuduhan itu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) di sini hari ini.

Hamzah berkata pemeriksaan pihak polis juga mendapati tiada laporan polis yang dibuat pengawal peribadi senator itu berhubung perkara terbabit di mana-mana balai polis di seluruh negara.

Beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk akan merekodkan keterangan pihak yang terlibat dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata polis menahan dua lelaki yang mempunyai 25 rekod lampau kerana terlibat dalam kes samun sehingga mendatangkan kecederaan kepada mangsa dalam serbuan di Juru, Bukit Mertajam dekat sini dan Air Itam, George Town semalam.

Beliau memaklumkan dua lelaki berumur 30-an itu ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada 12.20 tengah malam.

"Berdasarkan siasatan, kedua-dua lelaki itu terlibat dalam lima kes samun mendatangkan cedera dan satu kes curi motosikal di daerah SPT sehingga menyebabkan kerugian RM12,350 dalam semua kes itu.

"Susulan penahanan dua lelaki itu, polis merampas pelbagai barangan digunakan untuk kegiatan jenayah antaranya pisau dan merampas wang tunai pelbagai negara serta dua motosikal dipercayai hasil kegiatan curi mereka," katanya.

Hamzah berkata pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek yang mempunyai 25 dan 14 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA