KUALA LUMPUR: Dua Ahli Dewan Negara mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, di Dewan Negara, hari ini.

Mereka ialah Setiausaha Wanita UMNO Datuk Rosni Sohar dan Ketua Bahagian UMNO Ipoh Barat Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar.

Pelantikan Shamsuddin adalah lantikan semula Pilihan Dewan Negeri Perak berkuat kuasa 20 Dis lepas hingga 19 Dis 2027 manakala Rosni merupakan lantikan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh bermula hari ini hingga 8 Jan 2028.

Awang Bemee dalam ucapannya, mengucapkan tahniah dan menyeru Ahli Dewan Negara memanfaatkan pembangunan media sosial demi menegakkan tonggak negara.

"Untuk menyemai fahaman keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dalam kalangan warga Malaysia. Pembangunan media sosial memberi platform yang berpengaruh untuk tujuan ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Dewan Negara telah menubuhkan tiga jawatankuasa bagi melaksanakan tanggungjawab yang lebih efektif, iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Tatakelola, Integriti dan Antirasuah, Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat, serta Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-undang.

"Ahli-ahli disaran melaksanakan libat urus dengan pihak awam serta swasta, dalam dan luar negara, termasuk yang mengamalkan sistem Westminster," katanya.

"Sebagai negara perdagangan, hubungan dengan ASEAN, Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), BRIC selain Komanwel tentu menjadi keutamaan terutamanya dalam bidang bukan sahaja diplomatik tetapi legislatif berkaitan kepentingan bersama," katanya.

Awang Bemee turut mengalu-alukan ahli-ahli Senator yang mengangkat sumpah pada hari ini untuk menyumbang pandangan dan idea serta mengambil peranan dalam Jawatankuasa-jawatankuasa ini.

Pada 5 Dis lepas, pemilihan Shamsuddin diputuskan menerusi undian semasa hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tahun 2024 selepas Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menggulungkan Belanjawan negeri 2025.

-- BERNAMA