PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan (MoT) akan meneliti kes penyeludupan dadah melibatkan salah sebuah pelabuhan di negara ini yang dipercayai didalangi pihak kartel.

Menterinya, Anthony Loke berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang maklumat terperinci berhubung kejadian terbabit.

Loke merujuk kepada siasatan susulan penemuan dadah jenis heroin dalam kuantiti yang besar dalam sebuah kontena yang dikatakan bergerak dari Malaysia ke Brisbane, Australia pada 13 Mac lalu.

"Apa-apa kargo menggunakan pelabuhan kita untuk mengangkut bahan larangan adalah kesalahan serius.

"Kita akan mendapatkan maklumat mengenai pelabuhan berkaitan dan membuat siasatan," katanya ketika sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan di sini, pada Selasa.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Australia telah berjaya merampas 336 kilogram heroin berjumlah RM789.56 juta melibatkan kontena berkenaan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, dadah yang ditemui itu disorok dalam dua konkrit berasingan seberat 500kg.

Hasil pemeriksaan mendapati, penghantaran dadah itu juga telah diisytihar sebagai aksesori panel solar yang tiba di Pelabuhan Brisbane dari negara ini.