PELABUHAN KLANG: Pengecualian dasar kabotaj yang dilaksanakan pada 2017, iaitu membenarkan kapal asing membawa dan memunggah barangan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, dilihat tidak begitu membantu menurunkan kos barangan di dua wilayah itu.


Ringkasan AI
  • Pengecualian dasar kabotaj yang dilaksanakan pada 2017, iaitu membenarkan kapal asing membawa dan memunggah barangan di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, dilihat tidak begitu membantu menurunkan kos barangan di dua wilayah itu.
  • Sebaliknya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke, ia lebih menjejaskan syarikat perkapalan tempatan dari segi persaingan, hingga mengakibatkan sebahagian daripada mereka terpaksa gulung tikar.
  • Atas sebab itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengembalikan semula dasar itu untuk Sarawak, bagi tujuan meningkatkan daya saing syarikat perkapalan yang berpangkalan di wilayah itu.


Sebaliknya, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke, ia lebih menjejaskan syarikat perkapalan tempatan dari segi persaingan, hingga mengakibatkan sebahagian daripada mereka terpaksa ‘gulung tikar’.

Atas sebab itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk mengembalikan semula dasar itu untuk Sarawak, bagi tujuan meningkatkan daya saing syarikat perkapalan yang berpangkalan di wilayah itu.

“Dengan pengenalan semula kepada kabotaj, kita hanya membenarkan syarikat perkapalan tempatan untuk mengangkut barang ke Sarawak, antara Sabah ke Sarawak atau ke Semenanjung. Ia dapat melindungi dan membuka lebih peluang kepada syarikat tempatan.

“Dengan polisi sebegini, syarikat perkapalan tempatan mempunyai keyakinan yang lebih tinggi untuk melabur dalam kapal-kapal baharu, kerana mereka dilindungi tetapi untuk pasaran antarabangsa mereka masih perlu bersaing.

“Contohnya kalau China ingin menghantar barangan ke Sabah atau Sarawak secara terus, tiada masalah, tidak menjadi isu tetapi di antara Sabah, Sarawak, dan Semenanjung kita kembali perkenalkan kabotaj,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Anthony berkata, pelaksanaan itu hanya terpakai kepada Sarawak, kerana Kerajaan Sabah ketika ini masih belum bersetuju, dan ia perlu dihormati oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata demikian kepada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelepasan Ulung M.V MTT Bitangor milik MTT Shipping di Pelabuhan Klang, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Anthony turut menyambut baik langkah MTT Shipping untuk membuat pelaburan bagi 21 kapal kontena baharu, termasuk MTT Bitangor yang mampu membawa kapasiti 1,800 TEU (unit bersamaan dua puluh kaki).

Dengan pemilikan lebih banyak kapal berkapasiti seperti itu, beliau berkata, ia dapat mengurangkan kebarangkalian impak krisis seperti COVID-19, di mana ketika itu kapal-kapal asing lebih cenderung untuk mengutamakan kepentingan perniagaan mereka.

”Terutamanya dalam era sekarang ini, dalam dunia perkapalan ini, permintaan lebih daripada penawaran. Sebab pelbagai tempat ada konflik, seperti isu masalah di Red Sea, banyak gangguan di laluan perkapalan dunia, dan Pelabuhan antarabangsa ada kesesakan luar biasa.

“Ini sesuatu yang tidak pernah dialami sebelum ini. Krisis di dunia termasuk di Ukraine, Timur Tengah, ia memberikan kesan kepada pergerakan kargo dunia, dan syarikat perkapalan tentunya  menerima kesan.

“Jadi saya ucapkan terima kasih kepada MTT Shipping kerana memberikan keyakinan kepada negara kita, dan terus melabur untuk 21 kapal kontena baharu. Ini sudah tentu dapat meningkatkan fleet (armada) kapal tempatan untuk menjadi lebih besar,” katanya lagi.