SEPANG: Kerajaan tidak akan memberi subsidi untuk menampung harga tiket penerbangan antarabangsa seperti mana polisi yang diguna pakai terhadap penerbangan domestik untuk musim perayaan.


Ringkasan AI
  • Kerajaan tidak akan memberi subsidi untuk menampung harga tiket penerbangan antarabangsa seperti mana polisi yang diguna pakai terhadap penerbangan domestik untuk musim perayaan.
  • Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mencadangkan peningkatan persaingan dalam kalangan syarikat penerbangan sebagai cara untuk mengawal harga pasaran tiket penerbangan. Beliau memberi contoh Batik Air, yang akan menambah 20 lagi pesawat kepada rangkaian sedia ada untuk meningkatkan kekerapan penerbangan serta meneroka laluan baharu.
  • Batik Air, dalam siaran media susulannya, mengumumkan perkhidmatan premium khusus untuk penumpang Kelas Perniagaan Promo dan Flexi Batik Air. Mereka boleh menikmati perjalanan yang lancar di antara Terminal Utama dan Bangunan Satelit KLIA Terminal 1 melalui kenderaan elektrik Kia EV9, dan Carnival serba canggih.


Menteri Pengangkutan Anthony Loke bagaimanapun berkata, satu cara untuk mengawal harga pasaran tiket penerbangan adalah dengan menambah persaingan dalam kalangan syarikat penerbangan, supaya industri dengan sendirinya akan melakukan perubahan kepada harga.

Beliau berkata, syarikat penerbangan tempatan boleh mengambil contoh seperti mana yang dilakukan oleh Batik Air, yang akan menambah 20 lagi pesawat kepada rangkaian sedia ada untuk meningkatkan kekerapan penerbangan serta meneroka laluan baharu.

“Dari sudut penerbangan antarabangsa, tiada mekanisme seperti memberi subsidi untuk perjalanan udara.

"Satu cara untuk menyelesaikan atau menangani harga yang tinggi ini ialah dengan menyediakan lebih banyak penawaran.

“Lebih banyak persaingan, lebih banyak penawaran, maka pasaran dengan sendirinya akan membuat pelarasan harga.

“Jadi saya amat berbesar hati apabila dimaklumkan Batik Air akan meluaskan rangkaian mereka, dengan menambah 20 lagi pesawat dalam tempoh enam bulan akan datang.

"Bermaksud menjelang hujung tahun, 50 pesawat mereka akan memberi perkhidmatan kepada pasaran Malaysia,” katanya lagi.

Anthony berkata demikian selepas menghadiri Majlis Pelancaran Perkhidmatan Perjalanan Antara Terminal Batik Air, dengan kerjasama Kia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada Isnin.

Batik Air dalam siaran media susulannya berkata, perkhidmatan premium tersebut khusus untuk penumpang Kelas Perniagaan Promo dan Flexi Batik Air, di mana mereka boleh menikmati perjalanan yang lancar di antara Terminal Utama dan Bangunan Satelit KLIA Terminal 1 melalui kenderaan elektrik Kia EV9, dan Carnival serba canggih.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Chandran Rama Muthy berkata, kerjasama strategik dengan Kia itu bagi menambah nilai kepada perkhidmatan bas Malaysia Airports Bhd, susulan penggantungan sementara perkhidmatan Aerotrain.

Ketua Pegawai Eksekutif / Presiden Kia Asia Pasific, Kevin Ahn pula berkata, kerjasama dengan Batik Air sejajar dengan misi korporat mereka untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2045.