PUTRAJAYA: Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah meneliti semua maklum balas termasuk melaksana penambahbaikan sistem permit kemasukan kenderaan motor asing ke Malaysia atau Vehicle Entry Permit (VEP).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu antaranya pembatalan pendaftaran atau deregistration VEP boleh dibuat secara dalam talian, termasuk untuk kenderaan yang telah bertukar milik.

“Ini termasuk juga VEP yang telah tamat tempoh iaitu mencapai lima tahun dari tarikh pendaftaran akan dibatalkan secara automatik.

“Pembaharuan VEP boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu menunggu tag VEP sedia ada tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Pejabat Menteri MOT, di sini, pada Isnin.


Tambah beliau, notifikasi juga akan dihantar kepada pemilik kenderaan dalam masa 60, 30, dan 10 hari sebelum tarikh tamat tempoh VEP.

Beliau turut memaklumkan fungsi baharu ini telah dilaksanakan dalam portal VEP bermula 28 Jun 2024 dan meminimumkan keperluan berurusan secara emel atau di kaunter.

Sementara itu, lebih banyak penambahbaikan akan dilaksanakan termasuk pengenalan Open Toll Payment System (OPS) yang akan membolehkan penggunaan kad kredit dan debit sebagai pilihan tambahan kepada Touch 'n Go untuk pembayaran Road Charge (RC).

“Fungsi OPS akan boleh digunakan bermula 1 Ogos 2024. Pengguna boleh muat turun aplikasi MDGS melalui Google Play Store atau Apple App Store untuk memahami fungsi aplikasi tersebut,” katanya.