KUALA LUMPUR: Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan siasatan terperinci dengan segera berhubung punca kemalangan yang mengorbankan tujuh nyawa di persimpangan tol Ayer Keroh pada Isnin.


Ringkasan AI
  • Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JPJ akan menjalankan siasatan terperinci berhubung punca kemalangan yang mengorbankan tujuh nyawa di persimpangan tol Ayer Keroh.
  • JPJ akan mengambil tindakan susulan terhadap syarikat lori treler dan bas yang terlibat, serta melaksanakan tindakan penguatkuasaan tegas terhadap kenderaan perdagangan berat untuk memastikan keselamatan jalan raya.
  • Mangsa yang maut termasuk lima sekeluarga, dan dua lagi anak pasangan tersebut sedang dirawat di Hospital Melaka.


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, selain itu JPJ juga akan mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap syarikat lori treler serta bas yang terlibat.

Katanya lagi, JPJ akan terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu terhadap kenderaan perdagangan berat bagi memastikan pematuhan aspek keselamatan sepanjang masa demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

“Saya, bagi pihak seluruh warga Kementerian Pengangkutan, merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara Selatan berdekatan persimpangan tol Ayer Keroh semalam.

“Siasatan awal pihak berkuasa mendapati kemalangan yang mengakibatkan kehilangan tujuh nyawa tersebut berpunca daripada tayar sebuah lori treler yang tercabut, menyebabkan sebuah bas persiaran mengelak lalu terbabas dan merempuh tiga kenderaan dari arah bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Media hari ini melaporkan tujuh maut termasuk lima sekeluarga apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah treler dan bas persiaran di Kilometer 204.0 Lebuhraya PLUS arah utara, dekat Ayer Keroh, semalam.

Mangsa yang maut dalam kemalangan kira-kira jam 8.30 malam itu ialah pemandu dan penumpang MPV Khairul Izwan dan Fadzlenna; anak bongsu mereka Muhammad Umar, 2; bapa Fadzlenna, Ramli Ab Wahab, 66; dan pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56.

Dua lagi mangsa, masing-masing seorang penumpang MPV dan bas persiaran, masih belum dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua lagi anak pasangan itu, Nur Sofea Humaira, 4, dirawat di zon kuning Hospital Melaka, dan Muhammad Uwais Al-Qarni, 7, dirawat di zon merah hospital sama.

Turut tercedera, anak saudara pasangan itu, dipercayai seorang kanak-kanak, namun belum dikenal pasti identitinya.