Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata sektor perlombongan turun 8.3 peratus pada November 2024 berbanding penurunan yang ketara sebanyak 17.3 peratus pada Oktober 2024 disebabkan oleh indeks pengekstrakan petroleum mentah (-14.8 peratus).
"Sektor pembuatan mencatatkan penurunan lebih kecil, 1.8 peratus berbanding penurunan 2.6 peratus pada Oktober 2024.
"Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh harga lebih rendah dalam indeks pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (-16.8 peratus) dan pembuatan bahan kimia dan produk kimia (-5.1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan peningkatan ketara 21.8 peratus berbanding 13.8 peratus pada bulan sebelumnya, ia disokong oleh indeks penanaman tanaman kekal yang melonjak 37.7 peratus, kata Mohd Uzir.
"Pada asas bulanan, IHPR menokok 1.4 peratus pada November 2024 (Oktober 2024: -0.7 peratyus), disokong oleh sektor pertanian. Perhutanan dan perikanan merekodkan peningkatan 8.5 peratus (Oktober 2024: 6.0 peratus), disokong kebanyakannya oleh indeks Penanaman tanaman kekal, meningkat 13.6 peratus. Sektor Perlombongan pula melonjak 5.7 peratus berbanding penurunan 2.7 peratus pada Oktober 2024.
"Indeks Barang siap meningkat 0.4 peratus (Oktober 2024: 1.1 peratus) disebabkan oleh indeks kelengkapan modal (1.3 peratus)," katanya.
Bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya, merosot 2.0 peratus (Oktober 2024: -8.7 peratus), dipengaruhi oleh penurunan indeks bahan bukan makanan (-2.4 peratus), indeks bahan perantaraan, bekalan dan komponen susut 0.2 peratus (Oktober 2024: -1.9 peratus) disebabkan oleh bahan api yang diproses dan pelincir (-4.2 peratus).
Perbandingan antara negara terpilih menunjukkan bahawa IHPR Amerika Syarikat meningkat 3.0 peratus bulan ini berbanding peningkatan 2.6 peratus pada Oktober 2024, disebabkan oleh indeks permintaan akhir.
Dalam pada itu, HPR Jepun meningkat 3.7 peratus berbanding 3.6 peratus pada bulan sebelumnya kebanyakannya disebabkan oleh kos produk pertanian, perhutanan dan perikanan.
Sebaliknya, harga pintu kilang barangan yang dikeluarkan oleh United Kingdom merosot 0.6 peratus pada November 2024, menyederhana daripada penurunan 0.9 peratus pada Oktober 2024, didorong oleh kos lebih rendah bagi bahan kimia manakala China juga mencatatkan penurunan 2.5 peratus pada November 2024 berbanding penurunan 2.9 peratus pada bulan sebelumnya.
Mengenai harga komoditi terpilih semasa Malaysia, Mohd Uzir berkata harga minyak mentah global mengalami turun naik disebabkan faktor seperti keputusan bekalan oleh pengeluar minyak utama dan kebimbangan terhadap permintaan global berdasarkan kepada Laporan Pasaran Minyak Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) November 2024.
"Secara keseluruhan, harga minyak mentah Brent berjulat antara US$71 hingga US$75 setong pada bulan itu. Walaupun harga minyak mentah global menurun disebabkan oleh lebihan bekalan dan kebimbangan ekonomi, harga Malaysia meningkat, disokong oleh kekuatan mata wang dan dinamik permintaan serantau.
"Sementara itu, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), harga minyak sawit mentah Malaysia berlegar sekitar RM5,000 satu tan mentrik bulan ini, disokong oleh ketidaktentuan dalam bekalan eksport dan penurunan dalam pengeluaran," katanya.
-- BERNAMA