KUALA LUMPUR: Ahli keluarga penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines MH370 menyambut baik usaha pencarian baharu oleh Ocean Infinity di kawasan seluas 15,000 kilometer (km) persegi di selatan Lautan Hindi.

Wakil waris mangsa tragedi MH370 Grace Subathirai Nathan, berkata beliau dan ahli keluarga penumpang serta kru pesawat itu berterima kasih atas keputusan Kabinet meluluskan usaha pencarian baharu syarikat berkenaan, meskipun percubaan awal pada 2018 tidak berhasil.

"Saya mewakili waris kepada mangsa MH370 gembira dengan pengumuman Kerajaan berkenaan penerusan pencarian MH370. Sebab dalam tempoh 10 tahun yang lalu, kita terus mengusahakan pencarian MH370. Itulah kekuatan kita daripada Voice Of 370.

"Saya difahamkan terma-terma antara Ocean Infinity dengan Kerajaan Malaysia dalam proses dikemas kini dan akan dimuktamadkan kelak. Kami berharap perkara ini akan dibuat secepat mungkin supaya pencarian MH370 boleh bermula pada bulan Januari tahun depan kerana saya percaya, itu tempoh cuaca paling sesuai untuk pencarian MH370," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Waris mangsa sambut baik usaha pencarian baharu

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan Jemaah Menteri pada 13 November lalu secara prinsip menerima tawaran syarikat robotik marin Ocean Infinity untuk meneruskan operasi pencarian bangkai pesawat MH370.

Menurut beliau, lokasi kawasan pencarian baharu yang dicadangkan Ocean Infinity adalah berdasarkan kepada maklumat serta analisis data terkini yang dibuat pakar dan penyelidik.

Loke berkata operasi pencarian itu akan dilaksanakan oleh Ocean Infinity berdasarkan prinsip 'no find, no fee', yang bermaksud kerajaan tidak perlu mengeluarkan sebarang bayaran sekiranya bangkai pesawat tersebut tidak ditemukan.

Pesawat milik Malaysia Airlines bagi penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China pada 8 Mac 2014.