GEORGE TOWN: Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya kerajaan Pulau Pinang memohon bantuan daripada Kerajaan Persekutuan bagi membantu memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal.

Penasihat Penang Citizen Awareness Chant Group (Chant), Yan Lee berkata langkah itu perlu segera diambil supaya dapat membantu memadamkan kebakaran dengan lebih pantas demi keselamatan kesihatan rakyat di negeri itu.

Menurutnya, kebakaran yang sudah bermula sejak 12 Jan lalu masih gagal dipadamkan dan keadaan itu telah mewujudkan kebimbangan dalam kalangan penduduk.

"Mengapakah kerajaan negeri tidak mahu meminta pertolongan daripada Kerajaan Persekutuan? Saya menggesa agar kerajaan negeri supaya telus dalam memberikan informasi serta menjelaskan apakah tindakan yang telah diambil untuk memadam kebakaran ini dan bilakah kebakaran ini boleh dipadamkan secara terus?" katanya kepada Bernama melalui aplikasi WhatsApp di sini semalam.

Tinjauan Bernama semalam mendapati keadaan seakan jerebu apabila melewati Jambatan Pulau Pinang sehingga menutupi pemandangan di bahagian pulau.

Pemandangan di ruang udara sebahagian negeri Pulau Pinang kelihatan kabur ketika tinjauan semalam. --fotoBERNAMA

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang (JASPP), Sharifah Zakiah Syed Sahab ketika dihubungi berkata beliau tidak menolak kemungkinan keadaan seakan jerebu di sebahagian Seberang Perai ini berpunca daripada kebakaran yang berlaku di Pulau Burung.

Namun beliau berkata berdasarkan pemantauan yang dilakukan oleh pihaknya, kemungkinan tersebut adalah minimum.

"Walaupun pencemaran (habuk halus) boleh tersebar mengikut tiupan angin...namun impaknya ke atas kawasan lain di Pulau Pinang adalah minimum.

"Semua stesen pemantauan kualiti udara di Pulau Pinang kini mencatatkan status Indeks Pencemaran Udara (IPU) sederhana iaitu Seberang Jaya (75), Seberang Perai (68), Minden (66) dan Balik Pulau (68). Setakat 11 pagi ini, bacaan IPU di Ladang Byram adalah 92," katanya.

BACA: Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung diisytihar kawasan bencana tahap satu - Polis

BACA: 45 peratus kawasan kebakaran di Pulau Burung belum dipadam - Bomba Pulau Pinang

Beliau berkata bacaan IPU di Pulau Pinang dicerap menggunakan teknologi kadar ukuran IPU 2.5 mikrometer (PM2.5) dan ia tidak begitu berbeza dengan bacaan yang dicatatkan di stesen negeri lain antaranya di Kedah iaitu Sungai Petani (69) dan Alor Star (60), Perak iaitu Lumut (65), Taiping (65) dan Ipoh (64) manakala Putrajaya mencatatkan bacaan IPU 63.

Kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram dilapor berlaku pada kira-kira 5 petang pada 12 Jan lepas dan penduduk berhampiran telah diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

Pada 22 Jan, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati keluasan kawasan tersebut ialah lebih 33 hektar dengan kira-kira 11 hektar yang terbakar dan kerja-kerja pemadaman api giat dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah.

-- BERNAMA