Terletak bersebelahan Pantai Cahaya Negeri, Pulau Burung yang berkeluasan 1.5 hektar itu suatu masa dahulu terkenal disebabkan migrasi burung kini menjadi destinasi wajib dikunjungi sekiranya berkunjung ke Bandar Tentera Darat ini.
Keindahan Pulau Burung yang menghubungkan secara terus antara darat dan pulau membayangkan seolah-olah berada di sebuah pulau di Gothenburg, Sweden.
Pulau ini juga dikatakan mempunyai 'kembar' di Sumatera Barat iaitu Pantai Carocok Painan yang mempunyai rupa bentuk fizikal sama dengan Pulau Burung ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata pulau ini unik kerana menghubungkan antara darat dan pulau menerusi jambatan khas yang dibina ke Pulau Burung.
"Terdapat jambatan yang dibina khas untuk ke Pulau Burung ini, tidak perlu menggunakan bot serta pengunjung hanya perlu berjalan kaki sahaja sejauh 180 meter untuk sampai ke pulau itu.
"Dikenali sebagai Pulau Burung kerana pada masa dahulu, pulau ini menjadi lokasi tumpuan migrasi burung yang terbang secara berkumpulan ke pulau itu sebelum beralih ke Tanjung Tuan," katanya kepada Bernama.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Kepayang itu berkata beliau tidak menyangka keindahan dan kecantikan Pulau Burung ini hampir sama seperti pulau di Sweden.
Beliau berkata sebaik berada di atas jambatan di tengah-tengah laut menuju ke Pulau Burung itu fikirannya terus terlintas kepada sebuah pulau di Gothenburg, Sweden yang pernah dikunjungi sebelum ini.
"Keadaan pulau itu (di Sweden) hampir sama, ada jambatan khas yang menghubungkan darat dan pulau, keadaan laut yang membiru dan tenang, jadi tidak hairan mengapa saya boleh terbayangkan berada di Sweeden jika datang ke sini.
"Kejernihan air laut dan dikelilingi pokok bakau, membuatkan kita teruja untuk menikmati keindahan habitat di laut ini," katanya.
Beliau berkata selain mengelilingi pulau dan melihat paya bakau laut, pengunjung juga boleh menaiki menara tinjau setinggi tiga tingkat untuk menikmati panorama laut Port Dickson secara menyeluruh.
Melalui menara tinjau ini juga pengunjung berpeluang menikmati pemandangan Pantai Cahaya Negeri yang indah dan terbentang luas.
"Tempat ini memang berpotensi untuk kita majukan dan dinaik taraf sebagai satu lokasi pelancongan di Negeri Sembilan.
"Kita ada sebilangan peruntukan untuk menaik taraf tempat pelancongan di daerah ini termasuk pulau-pulau yang berpotensi tinggi untuk dijadikan kawasan tumpuan pelancong," katanya.
Pada tahun ini, Negeri Sembilan menyasarkan lapan juta kedatangan pelancong ke negeri itu dengan menyediakan lebih 50 acara pelancongan.
Nicole berkata terdapat lebih 200 produk pelancongan akan dipromosikan termasuk pelancongan pelaburan, perubatan serta pendidikan dan kesihatan sebagai usaha menarik pengunjung tempatan dan luar negara.
-- BERNAMA