Kalau ada pun, sebelum ini ia pernah ditemui di Negeri Sembilan dan Johor, namun untuk Perak ia baru dijumpai di dalam sungai dekat jambatan lama Trolak.
Penemuan itu memang dinanti-nantikan di sini memandangkan sebelum ini banyak pengkaji sejarah hanya bergantung kepada rekod bertulis yang ia pernah diguna ketika Pertempuran Slim pada 7 Januari 1942.
Menurut Naib Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Nor Hisham Zulkiflee, silinder konkrit itu ditemui oleh Shaharom Ahmad ketika melawat jambatan berkenaan baru-baru ini.
"Dia selaku Pengerusi MHG telah menemui silinder konkrit yang diguna pakai tentera British sebagai antitank roadblock yang diletak di lokasi strategik.
"Ia berada dalam Sungai Trolak tidak jauh dari jambatan itu, lalu berjaya dibawa naik dengan bantuan kontraktor yang sedang melaksana kerja tebatan banjir.
"Ia kemudiannya diletakkan dekat papan tanda Pertempuran Slim di Trolak.
"Kalau di bahagian utara Malaysia, ini yang pertama kita jumpa sebab sebelum ini hanya di selatan seperti Gemas dan Muar.
"Ada beberapa penduduk di sini mendakwa pernah nampak batu tersebut banyak di sungai itu, kita harap boleh jumpa beberapa lagi di masa akan datang," katanya kepada Astro AWANI.
Jelasnya lagi, fungsi silinder konkrit itu langsung tidak memberi impak dalam menghalang kemaraan tentera musuh.
Ini kerana katanya, walaupun ia berat tetapi boleh dialihkan dengan kederat beberapa orang individu.
"Batu itu buatan tempatan, tentera British mengguna segala bahan yang ada ketika itu, termasuk batu sungai," katanya.
Nor Hisham turut menekankan kepentingan penemuan itu dengan sejarah tanah air, di samping menjadi satu lagi produk tarikan pelancongan.
"Kita boleh tambah fakta dalam kajian sejarah tempatan, selain dapat jadi nilai tambah warisan dan sejarah di Muallim serta Perak.
"Pekan Trolak ini agak sepi dan kurang membangun, bila ada tarikan pelancongan ini dapat menarik pengunjung serta menambah ekonomi penduduk," katanya.
Tidak lama lagi, MHG akan menambah satu lagi papan tanda penerangan mengenai sejarah dan fungsi batu tersebut kepada umum.
Bercerita lebih lanjut tentang Pertempuran Slim, beliau memberitahu ia merupakan kisah penting bagi sejarah negara khususnya dan dunia amnya.
Katanya, kekalahan tentera British kepada Jepun dalam pertempuran tersebut, mengakhiri harapan British dalam mempertahan Tanah Melayu.
"Ia merupakan pertempuran yang berlaku pada 7 Januari 1942, yang mana lebih kurang 20 kereta kebal Jepun telah berjaya memusnahkan dua briged tentera British yang bertahan di Trolak dan Slim River," katanya.