Tiga pegawai atasan syarikat penerbangan nasional, MAS digesa letak jawatan. Itu desakan Kesatuan Pekerja Sistem Penerbangan Malaysia, MASEU.

Dan jika ia tidak diendahkan, satu memorandum akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk bantu menyelesaikan isu berhubung cara syarikat tersebut diuruskan, bulan depan.

“MASEU yang mewakili 13,500 warga kerja MAS dengan keahlian kami seramai 8000 telah hilang kepercayaan dengan pengurusan MAS yang sedia ada. Bila kita sudah hilang kepercayaan jadi kita boleh gambarkan tahap moral kakitangan menerusi cara mereka bekerja dan sebagainya. Ia agak menyedihkan,” kata Setiausaha Eksekutif MASEU Mohd Jabbarullah Abd Kadir

Tiga pegawai itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAS Ahmad Jauhari Yahya, Pengarah Bahagian Sumber Manusia Zaharah Zaid, dan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Azhari Dahlan.

Jabbarullah turut berkata mereka tidak mempunyai pengalaman yang cukup untuk mengendali syarikat penerbangan nasional dan membawa keuntungan.

Pihak MASEU juga menerima rungutan daripada pekerja yang tidak berpuas hati dengan pengurusan syarikat.