KUALA LUMPUR: Proses libat urus Kementerian Kewangan (MOF) dengan pihak pemegang taruh bagi tujuan penyiapan dokumen Belanjawan 2025 sedang berjalan dengan lancar.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata semasa mesyuarat pasca Kabinet semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan memaklumkan hampir kesemua kementerian sama ada telah dan masih meneruskan sesi perbincangan dengan para pemegang taruh.

"Kita mengalu-alukan maklum balas daripada pelbagai sektor industri dan juga pemegang taruh bagi kementerian-kementerian untuk berhubung sama ada dengan ketua setiausaha atau menteri.

"Sekiranya mereka ada sebarang maklum balas, pandangan, saranan yang mereka harap, Kementerian Kewangan akan mengambil kira dalam penyediaan dokumen Belanjawan 2025," katanya di sini, pada Khamis.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Wisma Bernama di sini.

MOU antara Bernama dan Perkeso itu bertujuan memperluas perlindungan sosial kepada pengamal media sambilan melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

MOF menerusi Kenyataan Prabelanjawan yang diterbitkan pada 30 Julai lepas menetapkan 'Ekonomi MADANI: Negara Makmur, Rakyat Sejahtera' sebagai tema bagi panduan kepada proses konsultasi Belanjawan 2025.

Selari dengan prinsip MADANI, kerajaan komited untuk memastikan proses penggubalan Belanjawan 2025 adalah holistik dan terangkum dengan mengalu-alukan maklum balas daripada semua pihak.

Belanjawan 2025 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 18 Okt, 2024.

-- BERNAMA