IPOH: Bobie Farid Shamsudin mengumumkan peletakan jawatannya selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara Perak FC.

Beliau memaklumkan perkara itu menerusi Facebooknya malam tadi.

"Dengan rasminya hari ini saya melepaskan jawatan interim CEO Perak FC. Dah lama sangat saya tinggalkan rakan-rakan niaga saya," katanya dalam hantaran itu.

Bobie Farid juga berkata pada pandangannya, sukan bola sepak sukar dibaiki.

Perak FC mengumumkan pelantikan Bobie Farid yang juga CEO XOX Sdn Bhd sebagai CEO sementara kelab berkenaan berkuat kuasa 31 Mei 2022.

Pelantikan beliau dibuat selepas Perak FC dipotong sembilan mata oleh First Instance Body (FIB) pada April 2022 kerana kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain.

Pasukan The Bos Gaurus kini berada di kedudukan kesembilan Liga Super dengan enam mata daripada tujuh perlawanan.

-- BERNAMA