MOSCOW: Ketua Hakim Bangladesh Obaidul Hassan telah menyerahkan peletakan jawatannya kepada Kementerian Undang-Undang berikutan tekanan daripada penunjuk perasaan pelajar, lapor Sputnik yang memetik laporan media Bangladesh pada Sabtu.


Ringkasan AI
  • Ketua Hakim Bangladesh, Obaidul Hassan, meletak jawatan kerana tekanan dari protes pelajar.
  • Lima hakim Bahagian Rayuan Mahkamah Agung juga dijangka meletak jawatan bersama Hassan.
  • Protes meluas di Bangladesh menyebabkan Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan, digantikan sementara oleh Muhammad Yunus.


Tindakan itu dibuat selepas seorang ketua protes mengeluarkan kata dua menuntut Hassan berundur, lapor akhbar Dhaka Tribune.

Presiden Mohammad Shahabuddin dijangka mengambil tindakan terhadap peletakan jawatannya.

Lima hakim Bahagian Rayuan Mahkamah Agung dilaporkan akan meletakkan jawatan bersama Ketua Hakim Negara Hassan.

Protes bermula di seluruh Bangladesh selepas pengumuman "tindakan tidak bekerjasama" selama beberapa hari dengan pihak berkuasa oleh Gerakan Pelajar Antidiskriminasi pada Ahad. Pertembungan antara pelajar, polis dan penyokong kerajaan memuncak menjadi rusuhan. Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina meletak jawatan di tengah-tengah pergolakan itu.

Pada Isnin, saluran berita melaporkan bahawa Hasina dan adiknya meninggalkan kediaman rasmi di Dhaka dan melarikan diri ke India, yang disahkan oleh Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar. Pada Khamis, ahli ekonomi dan pemenang Hadiah Nobel Keamanan Muhammad Yunus mengangkat sumpah sebagai perdana menteri sementara negara itu.

-- BERNAMA