NEW DELHI: Anak syarikat IHH Healthcare Bhd yang berpangkalan di India, Fortis Healthcare Ltd mengumumkan Pengerusinya Ravi Rajagopal meletakkan jawatan berikutan komitmen ahli lembaga pengarahnya semakin bertambah di United Kingdom dan wilayah lain.

Dalam kenyataan kepada bursa saham India pada Selasa, Fortis Healthcare menjelaskan Rajagopal memaklumkan kepada lembaga pengarah mengenai kesediaannya untuk meletakkan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah berkuat kuasa 30 September.

Susulan peletakan jawatannya sebagai pengerusi dan pengarah bukan eksekutif bebas, Rajagopal juga akan berundur daripada jawatan ahli jawatankuasa tanggungjawab sosial korporat syarikat itu.

Rajagopal, dilantik sebagai pengerusi pada Jun 2018, mengetuai lembaga pengarah baharu dalam merombak proses tadbir urus.

-- BERNAMA