SIK: Jenazah Allahyarham Meriam Ahmad, 74, ibu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pau jam 5.45 petang Khamis.

Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Al-Ubudiah Sungai Pau dan disolatkan oleh kira-kira 5,000 jemaah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Solat jenazah diimamkan anak keempat Allahyarhamah, Sobri Md Nor.

Sebaik tiba di tanah perkuburan, hujan renyai-renyai mengiringi pengebumian itu yang turut dihadiri ahli keluarga, saudara-mara, barisan EXCO negeri Kedah, selain penduduk kampung.

Allahyarham dimasukkan di Hospital Sik Isnin lalu sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB pada pukul 9.40 pagi tadi selepas tiga hari menerima rawatan.