Nasihat gempa bumi Palung Nankai yang pertama sejak sistem itu dilaksanakan pada 2017 telah mendorong kerajaan pusat dan komuniti tempatan untuk memperhebatkan persiapan bencana sejak minggu lepas.
Ia juga memberi kesan negatif terhadap beberapa perniagaan berkaitan pelancongan semasa musim cuti musim panas.
Jepun, sebuah negara yang terdedah kepada gempa bumi telah lama bimbang akan gempa berukuran lapan hingga sembilan magnitud di sekitar Palung Nankai dalam tempoh 30 tahun akan datang, dengan ramalan bahawa kawasan yang luas mungkin digegarkan dan kawasan pantai yang luas dilanda tsunami.
Nasihat gempa bumi itu dikeluarkan hanya beberapa jam selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud melanda barat daya Jepun pada 8 Ogos.
Nasihat itu bertujuan untuk memaklumkan orang ramai mengenai risiko gempa bumi berskala besar di sekitar Palung Nankai selama seminggu.
Kerajaan menggesa orang ramai agar kekal berwaspada dan bersiap sedia kerana kemungkinan berlakunya gempa bumi.
Kyodo melaporkan bahawa Agensi Meteorologi Jepun menyatakan setakat Rabu, tiada sebarang aktiviti seismik dikesan yang menunjukkan sebarang perubahan membimbangkan di kawasan yang dianggap sebagai tempat asal gempa bumi besar.
Sejarah menunjukkan bahawa gempa bumi besar di sekitar Palung Nankai berlaku setiap 100 hingga 150 tahun. Kira-kira 80 tahun telah berlalu sejak kejadian terbaru.
-- BERNAMA