1,211 gempa susulan dikesan selepas gempa bumi berukuran 6.8 magnitud Xizang
Gempa susulan terbesar mempunyai magnitud 4.4 dan berlaku kira-kira 18 kilometer dari pusat gempa bumi berukuran 6.8 magnitud.
Bernama
Thu Jan 09 2025
Sebuah kereta musnah di tengah-tengah runtuhan di sebatang jalan susulan gempa bumi yang berlaku di Lhatse County, Shigatse City, Wilayah Autonomi Tibet, China, 7 Jan 2025. REUTERS
LHASA: Sebanyak 1,211 gempa susulan dikesan setakat 3 petang Khamis selepas gempa bumi berukuran 6.8 magnitud menggegarkan Daerah Dingri di Wilayah Autonomi Xizang, barat daya China pada Selasa, kata pihak berkuasa tempatan, menurut Xinhua.
Gempa susulan terbesar mempunyai magnitud 4.4 dan berlaku kira-kira 18 kilometer dari pusat gempa bumi berukuran 6.8 magnitud, menurut biro gempa bumi wilayah itu. Biro itu juga menyatakan bahawa 33 daripada gempa susulan mempunyai magnitud melebihi 3.
Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda Daerah Dingri di bandar Xigaze pada 9.05 pagi Selasa, menyebabkan 126 orang maut dan 188 yang lain cedera manakala 407 individu yang terperangkap diselamatkan.