BEIJING: Sekurang-kurangnya 95 orang maut dan 130 yang lain cedera setakat ini akibat gempa bumi berukuran 6.8 magnitud yang melanda kawasan terpencil di Tibet, China.

Menurut Reuters, gempa yang berlaku pada jam 9.05 pagi waktu tempatan itu menggegarkan daerah Dingri di bandar Xigaze di wilayah autonomi Xizang.

Menurut Pusat Rangkaian Gempa Bumi China (CENC), walaupun gempa bumi biasa berlaku di rantau ini, gempa kali ini adalah paling kuat direkodkan dalam radius 200 kilometer sejak tempoh lima tahun lalu.

Pihak berkuasa China mendakwa gegaran juga dirasai hingga ke Nepal, Bhutan dan India.

Pusat gempa dilaporkan terletak di Tingri, sebuah daerah luar bandar di China yang dikenali sebagai pintu masuk utara ke kawasan Everest, pada kedalaman 10 kilometer.

Ketua Daerah Dingri dilaporkan berkata, pihak berkuasa tempatan kini berusaha menghubungi beberapa perbandaran dalam daerah itu untuk menilai kesan gempa berkenaan.

Selain itu, Pemantauan Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula melaporkan gempa terbabit pada kekuatan 7.1 magnitud.

Dalam masa sama, puluhan gempa susulan pada kekuatan 4.4 magnitud dilaporkan berlaku sejurus gegaran kuat tersebut.