ISTANBUL: Negara Pasifik Selatan, Vanuatu, memohon bantuan antarabangsa selepas gempa bumi bermagnitud 7.3 meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa, termasuk dua rakyat China, serta merosakkan bangunan dan infrastruktur pada Selasa, lapor Agensi Anadolu (AA).

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan seramai 116,000 orang mungkin terjejas, dan menekankan keperluan kemanusiaan mendesak selepas bencana itu melanda negara berpopulasi sekitar 334,000 orang.

Perdana Menteri Vanuatu, Charlot Salwai, mengisytiharkan darurat dan menyeru bantuan antarabangsa.

"Kerajaan Vanuatu melaporkan 14 kematian yang disahkan dan 200 orang dirawat akibat kecederaan di hospital utama di Port Vila... operasi menyelamat diteruskan untuk menyelamatkan mereka yang terperangkap, dengan perhatian kini tertumpu kepada keperluan mendesak seperti rawatan kecemasan, tempat perlindungan dan bekalan air," kata Katie Greenwood, Ketua Delegasi untuk Wilayah Pasifik Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC).

Kementerian Luar China mengesahkan dua rakyatnya turut menjadi mangsa korban, manakala dua lagi cedera akibat gempa yang melanda ibu negara, Port Vila.

Terletak di Lingkaran Api Pasifik, Vanuatu kerap mengalami gempa bumi akibat sempadan plat tektoniknya.

Gempa bumi kuat itu menyebabkan kerosakan teruk pada bangunan kediaman dan awam, dengan banyak bangunan "runtuh sehingga menjadi rata," menurut penduduk tempatan dan imej yang dikongsi di media sosial.

Bangunan yang menempatkan misi diplomatik Perancis, New Zealand, Amerika Syarikat dan United Kingdom turut rosak.

-- BERNAMA