KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa Ahli Lembaga Pengarah SRC International Sdn Bhd adalah sekumpulan profesional dan bukannya 'boneka' yang boleh dibuli sesuka hati oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd Tan Sri Ismee Ismail, 59, juga bersetuju dengan cadangan peguam utama Najib iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkenaan, Nik Faisal Ariff Kamil adalah seorang akauntan bertauliah dengan latar belakang keluarga yang baik.

Ismee memberi keterangan sebagai responden pihak ketiga pada prosiding saman AS$1.18 bilion yang difailkan oleh SRC International terhadap Najib dan Nik Faisal, yang masih bebas.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan Muhammad Shafee bahawa Najib tidak mengenali mana-mana Ahli Lembaga Pengarah secara peribadi dan tidak mengupah 'boneka' untuk berada di situ meskipun bekas Perdana Menteri itu mempunyai kuasa mutlak bagi melantik pengarah berdasarkan Perkara 117 Memorandum dan Artikel SRC.

Muhammad Shafee: Jika Najib mahu Lembaga Pengarah menjadi boneka dan beliau tuan mereka, beliau tidak mungkin memilih ahli seperti itu yang bijak serta mempunyai kelayakan begitu tinggi. Adakah ini satu kenyataan yang adil?

Ismee: Ya, ia adalah satu kenyataan yang adil.

Muhammad Shafee: Sudah tentu beliau akan memilih seseorang yang boleh dijadikan 'pak turut,' bukannya mereka yang memiliki kelayakan begitu tinggi.

Ismee: Ya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung pada 17 Sept ini dan Najib dijangka memberi keterangan.

Di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu pada Mei 2021 dengan mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu termasuk Ismee dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami syarikat itu akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut beliau membayar pampasan sebanyak RM42 juta bagi kerugian itu.

-- BERNAMA