KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau mempunyai penyesalan tertentu terhadap kerugian yang dihadapi SRC International Sdn Bhd.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Najib Tun Razak mengaku di Mahkamah Tinggi bahawa beliau ada kekesalan tertentu terhadap kerugian yang dihadapi oleh SRC International Sdn Bhd, tetapi menegaskan beliau tidak mempunyai pengetahuan atau maklumat mengenai aliran dana ke dalam akaun peribadinya.
  • SRC International memfailkan saman sivil bernilai AS$1.18 bilion terhadap Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil, mendakwa pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa. Najib kekal sebagai defendan tunggal selepas lima pengarah syarikat digugurkan dari saman tersebut.
  • SRC International menuntut Najib membayar pampasan RM42 bilion atas kerugian yang dialami syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau.
  • Perbicaraan akan bersambung pada 21 Oktober di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.


Najib, sebagai defendan pertama berkata demikian ketika disoal peguam SRC International Kwan Will Sen, dalam saman sivil SRC International bernilai US$1.18 bilion terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, yang kini bebas.

Kwan: Dengan sabitan jenayah anda (dalam SRC International) dan semua perkara yang berlaku dalam SRC International, adakah anda mempunyai sebarang penyesalan, Datuk Seri?

Najib: Saya ada penyesalan tertentu, tetapi pada masa itu, saya tidak mempunyai pengetahuan atau maklumat.

Berhubung soalan lain mengenai wang yang masuk ke dalam akaun peribadi beliau daripada SRC International dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Najib mengekalkan keterangannya bahawa beliau tidak tahu tentang perkara itu.

Kwan: Saya juga mencadangkan kepada anda, sebagai seseorang dengan kuasa besar, anda juga akan bersetuju bahawa terdapat akauntabiliti dan tanggungjawab yang lebih besar di pihak anda untuk bertindak mengikut undang-undang dan tidak menggunakan atau mengambil manfaat peribadi daripada wang KWAP atau SRC International. Anda bersetuju atau tidak?

Najib: Saya tiada pengetahuan mengenai aliran dana sama sekali, tetapi saya bersetuju dengan kenyataan bahawa, sebagai Menteri Kewangan, saya berada dalam kedudukan akauntabiliti, perkara itu saya setuju.

Pada Mei 2021, di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu, mendakwa Najib melakukan pecah amanah jenayah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat selain menyeleweng dana berkenaan.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarah syarikat itu daripada saman terbabit dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal. Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami syarikat akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut bekas Perdana Menteri itu membayar pampasan RM42 bilion bagi kerugian terbabit.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung pada 21 Okt.

-- BERNAMA