KUALA LUMPUR: Malaysia dan Tajikistan akan terus memperkukuh hubungan dua hala terutama dalam sektor ekonomi, pendidikan serta kebudayaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu dibincang ketika beliau menerima kunjungan hormat Duta Besar Tajikistan ke Malaysia Ardasher Saeedjaafar Qodiri hari ini.

"Selesai Mesyuarat Jemaah Menteri, saya menerima kunjungan hormat daripada Ardasher Saeedjaafar Qodiri, Duta Besar Tajikistan ke Malaysia.

"Dalam pertemuan ini, kami membincangkan usaha memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Tajikistan, khususnya dalam bidang ekonomi, pendidikan dan kebudayaan," katanya menerusi laman X.

Beliau berkata memandangkan Malaysia dan Tajikistan berkongsi banyak nilai bersama, kerjasama lebih erat akan membuka peluang baharu bagi kedua-dua negara.

Tajikistan, sebuah negara bekas Republik Soviet, mempunyai populasi kira-kira 10 juta orang dan bersempadan dengan Afghanistan di selatan, China di timur, Kyrgyzstan di utara serta Uzbekistan di barat.

Kuala Lumpur dan Dushanbe telah menjalinkan hubungan diplomatik sejak 11 Mac 1992.

-- BERNAMA