Ketua Ahli Ekonominya Ray Choy berkata ini berikutan lencongan dagangan daripada AS sebelum ini yang terbukti memberi manfaat kepada Malaysia, ASEAN dan Asia (kecuali China).
"Keseluruhan dagangan di ASEAN, termasuk Malaysia, terbukti terus berkembang sejak impak daripada pelaksanaan tarif oleh Presiden Donald Trump pada 2018.
"Bagaimanapun, prospek menyeluruh bagi jumlah dagangan dan pertumbuhan pastinya lebih baik jika dunia ini kurang tarif dan sebaliknya menumpukan nasionalisme ekonomi," katanya dalam sesi webinar bertajuk "Trumped Expectations: Navigating Policy Shifts and Market Responses in 2025."
Choy turut merujuk lonjakan eksport Vietnam apabila kalangan pengilang memindahkan lokasi susulan peningkatan tarif dan kos menjalankan perniagaan manakala Taiwan menjadi pembekal alternatif bagi produk elektronik ke AS.
KDNK Malaysia kekal melebihi 5.0 peratus
Mengulas Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), Choy berkata pertumbuhan Malaysia diunjur melebihi 5.0 peratus pada 2025 yang secara relatifnya lebih tinggi berbanding unjuran pertumbuhan ASEAN pada 4.5 peratus serta China juga pada 4.5 peratus.
Beliau berkata pertumbuhan global secara menyeluruh juga dijangka kekal kukuh walaupun pada kadar lebih kecil 3.2 peratus pada 2025.
"Pertumbuhan AS berkemungkinan susut tahun depan kepada 2.2 peratus, susulan kesan kumulatif kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed).
"Jangkaan kadar faedah lebih rendah di AS juga didorong oleh peningkatan kadar pengangguran dan kelembapan pertumbuhan KDNK secara beransur-ansur," katanya.
Menyentuh impak cabaran di China yang juga rakan dagang utama Malaysia, Choy berkata aktiviti perdagangan Malaysia kekal berdaya tahan bersama kalangan rakan anggota ASEAN.
Unjuran inflasi 2.0 peratus hingga 3.5 peratus
Merujuk inflasi, Choy berkata persekitaran kadar faedah global kekal konstruktif dalam tempoh menjelang 2025 yang dapat memberi dorongan tambahan untuk pertumbuhan Malaysia, dipacu oleh peningkatan pelaburan serta lencongan dagangan.
"Sejak empat tahun lepas, kita dapat melihat peningkatan pelaburan yang ketara dan dapat diterjemahkan kepada penambahbaikan pembentukan modal tetap kasar yang juga satu trend dijangka berterusan hingga 2025.
"Walaupun inflasi bagi 2025 dijangka lebih tinggi, impaknya akan bergantung kepada masa serta senario usaha rasionalisasi masa depan, terutama berkaitan harga petrol," katanya.
Bagi 2025, MARC Ratings mengunjurkan inflasi Malaysia pada kadar 2.0 peratus hingga 3.5 peratus.
Prospek sektor bagi 2025
Mengulas prospek sektor bagi tahun depan, Ketua Pegawai Eksekutif MARC Ratings Rajan Paramesran berkata unjuran kredit korporat secara amnya stabil dan disokong oleh pertumbuhan serta pemulihan dalam sektor-sektor utama.
"Meskipun terdapat perubahan ketara dalam ringgit yang menyumbang kepada pulangan pertukaran asing yang signifikan bagi segelintir dan rugi bagi yang lain, kami berpendapat bahawa aliran peningkatan bagi pendapatan korporat akan berterusan pada 2025," katanya.
Rajan juga mengunjurkan pinjaman bank akan meningkat kepada kira-kira 5.5 peratus susulan keadaan ekonomi yang lebih sihat manakala sukuk atau bon bernilai RM70 bilion dijangka diterbitkan pada 2025.
Selain itu, jumlah keseluruhan industri automotif (TIV) meningkat 3.7 peratus tahun ke tahun sehingga akhir Oktober 2024.
"Sektor automotif dan kadar faedahnya dijangka tidak meningkat dalam masa terdekat manakala kelulusan pinjaman sektor itu diunjur kekal dan menyokong jumlah keseluruh industri di masa depan.
"Kemampuan penggiat domestik untuk pantas menyesuaikan diri dengan dunia hibrid kenderaan elektrik (EV) pada harga kompetitif, akan menjadi faktor penting untuk kemajuan masa depan," katanya.
Dalam pada itu, Rajan berkata pertumbuhan pusat data dijangka turut memberi manfaat kepada sektor lain seperti pembinaan, telekomunikasi dan industri berkaitan utiliti.
"Kami mendapati pusat data ini pada awalnya bertumpu di Lembah Klang, namun pertumbuhan domestik kini lebih di Johor susulan limpahan dari Singapura yang dibantu oleh kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ)," katanya.
Beliau berkata sektor utama lain yang mempunyai prospek lebih cerah pada 2025 adalah minyak sawit, telekomunikasi, minyak dan gas, pengguna serta tenaga.
-- BERNAMA