Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata pengiktirafan itu secara tidak langsung memperkenalkan Sarawak dan menjadi perhatian masyarakat peringkat antarabangsa.
Menurutnya, masyarakat antarabangsa melahirkan rasa kagum dengan usaha gigih Abang Johari membangunkan ekonomi baharu terutama dari segi sumber tenaga baharu untuk memajukan negeri itu.
"Apabila kita pergi ke luar negara, bila saya katakan saya daripada Sarawak mereka akan bercakap mengenai Premier Abang Jo. Jadi di situ kita dapat melihat bagaimana kesan itu telah dibawa ke peringkat antarabangsa," katanya kepada media selepas penutupan Program Kasih Komuniti dan Advokasi Anti Gangguan Seksual @ Sibu di Dewan Komuniti Sibu Jaya hari ini.
Nancy berkata ucapan-ucapan Abang Johari berbeza dengan pemimpin lain iaitu beliau bercakap mengenai perkara baharu, inovasi dan bagaimana ekonomi Sarawak boleh dipertingkatkan.
"Beliau tidak lagi bercakap mengenai pelancongan, beliau bercakap mengenai perkara-perkara baharu daripada mana-mana pemimpin lain yang boleh jadikan sebagai contoh," katanya.
Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata sebagai ahli Parlimen dan menteri peringkat Persekutuan daripada Sarawak, beliau berasa bangga dengan pencapaian dan pengiktirafan terhadap Premier berkenaan.
Beliau berkata rakyat Sarawak juga sudah tentu berasa bangga kerana mempunyai pemimpin yang fokus menjadikan negeri itu sebuah wilayah yang lebih maju dan menyaksikan peningkatan setiap kali pembentangan belanjawan.
Sementara itu, sambil mengucapkan tahniah dan syabas kepada Abang Johari, Nancy berkata kerajaan Sarawak telah mendidik suri rumah dan mendedahkan golongan tersebut termasuk di luar bandar kepada transformasi digital untuk manfaat ekonomi sebelum pandemik COVID-19.
Oleh sebab itu katanya apabila negara dilanda pandemik itu, kebanyakan mereka boleh menggunakan teknologi digital untuk menjalankan aktiviti ekonomi.
Esok merupakan ulang tahun kelapan pelantikan Abang Johari sebagai Ketua Menteri Sarawak.
-- BERNAMA