Faktor itu juga, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkemungkinan menjadi nilai ASEAN dan khususnya kepengerusian Malaysia serta detik bermakna bagi negara ini.
"Ringkasnya, ketika ASEAN menarik lebih banyak aliran pelaburan daripada kalangan negara-negara kuasa besar dunia dan lainnya, ASEAN juga (berperanan) dalam menyokong keselamatan geopolitik serantau yang turut bermakna untuk dunia," katanya dalam ucapan penutup di Persidangan Pemimpin Pemikir Ekonomi ASEAN : Tinjauan bagi 2025 di sini, hari ini.
Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata ketika Strategi China+1 dilaksanakan, negara-negara kuasa besar juga mengalami pemisahan yang turut memberi kesan kepada rantaian bekalan.
Seiring aliran masuk pelaburan asing yang stabil, ASEAN juga tidak terkecuali membangunkan keupayaan perindustriannya walaupun perkembangan itu sepatutnya berlaku dengan lebih pantas.
"Atas alasan ini, antara Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) bagi Malaysia selaku pengerusi ASEAN, adalah untuk memperjuangkan inisiatif seperti membangunkan ASEAN sebagai hab kenderaan elektrik (EV) serantau selain menggerakkan kerjasama serantau dalam tenaga, mineral serta semikonduktor.
"Sehubungan itu, ketika perkumpulan ini mengakui kekangan dalam meraih pencapaian secara realistik dalam tempoh setahun, Malaysia akan berusaha sebaik mungkin untuk menyuntik 'pemugaran semangat ASEAN' serta menetapkan momentum bagi mencapai sebanyak mungkin kemajuan untuk keberhasilan ekonomi," katanya.
Tengku Zafrul berkata sumbangan sebenar Malaysia adalah dengan meletakkan asas bagi ASEAN yang lebih tangkas dan berwawasan dengan mekanisme yang berdaya tahan.
Ini, katanya, penting dalam membantu perkumpulan itu muncul sebagai hab pengeluaran dunia dan antara pasaran paling bertenaga dengan sokongan 680 juta penduduk.
Beliau juga menyifatkan kekuatan ASEAN terletak pada perpaduan yang biarpun mungkin tidak sempurna, namun Malaysia akan terus berusaha meningkatkan pemusatan ASEAN dengan menggalakkan teras strategik selain memperkukuh kerjasama yang melangkaui rantau berkenaan.
-- BERNAMA