IPOH: Seorang lelaki warga emas kerugian RM974,000 akibat terperdaya dengan tawaran skim pelaburan tidak wujud secara dalam talian, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima satu laporan berkaitan kes itu daripada mangsa yang berusia 67 tahun, semalam.

Beliau berkata pada 4 Dis lepas, mangsa yang ketika itu berada di rumahnya telah melayari laman Facebook dan berminat dengan satu iklan pelaburan saham yang menjanjikan pulangan sebanyak 20 peratus dalam masa setengah jam apabila melabur RM5,000.

"Mangsa seterusnya telah menekan pautan yang diberikan, lalu dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp dan diminta memuat turun satu aplikasi.

"Mangsa telah membuat pembayaran secara dalam talian sebanyak 16 kali ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM974,000. Mangsa kemudian membuat semakan di laman carian Google, semalam, dan mendapati pelaburan itu tidak wujud lalu membuat laporan polis," katanya.

-- BERNAMA