Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ASEAN tidak lagi boleh sekadar menjadi pemerhati, tetapi perlu menjadi peneraju dalam membentuk hala tuju ekonomi serantau.
"Perubahan dalam sistem ekonomi dunia, ASEAN yang semakin berdaya dan Malaysia yang stabil, bermakna kita tidak lagi berpuas hati dengan hanya menjadi pemerhati.
"Oleh itu, kita perlu mengambil alih tanggungjawab untuk merangka hala tuju ke hadapan dalam tiga bidang kepimpinan.
"Menggalakkan pertumbuhan yang dipacu pasaran tidak seharusnya dilihat bertentangan dengan pelaksanaan agenda sosial yang komprehensif yang memajukan keadilan," katanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Malaysia 2025 di sini hari ini.
Anwar berkata, Malaysia sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, bersedia memainkan peranan penting dalam mengemudi pertumbuhan ekonomi serantau.
Jelasnya, pertumbuhan ini akan mendorong kemunculan kelas pertengahan yang besar serta pengaruh yang lebih besar dalam merangka keputusan global.
"Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia hadir pada waktu yang sangat tepat.
"Ini kerana Asia kini menjadi pusat ekonomi global dan ASEAN dijangka menjadi blok ekonomi keempat terbesar di dunia.
"Sebahagian besar pertumbuhan global akan berpunca daripada gabungan ASEAN, India dan China, yang membawa kepada pertumbuhan kelas pertengahan yang pesat serta pengaruh yang semakin besar dalam membuat keputusan," ujarnya.