Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PERNAS, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah, berkata PERNAS bertanggungjawab melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong usahawan, termasuk membangunkan jenama-jenama baharu, meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap potensi francais, melahirkan lebih ramai usahawan francais, serta membantu jenama tempatan menembusi pasaran antarabangsa sejak 2004.
Dalam usaha terkini, PERNAS bakal menganjurkan PERNAS International Franchise Festival (PIFF) 2025, sebuah acara bertaraf dunia yang dijangka memberi impak besar kepada industri francais dan sektor kopi di Malaysia.
Acara yang akan berlangsung dari 7 hingga 9 Februari 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), ini bertemakan kopi dan kafe dengan tagline "Brew Your Success, Empowering Entrepreneurs".
Menurut beliau, PIFF 2025 bukan sahaja platform untuk usahawan francais dan pemain industri meneroka peluang baharu, malah ia turut menampilkan elemen ASEAN bersempena dengan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini.
"Fokus utama acara ini adalah untuk memperkukuhkan kedudukan jenama tempatan di peringkat serantau dan global, selain membantu mereka memperluaskan rangkaian perniagaan.
"PIFF 2025 menjanjikan pengalaman yang menyeluruh kepada semua pengunjung dengan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang.
"Antaranya adalah reruai pameran yang menampilkan inovasi francais serta pelbagai jenama kopi dan kafe tempatan serta antarabangsa. Selain itu, terdapat juga sesi padanan perniagaan untuk usahawan, pelabur dan syarikat yang ingin meneroka peluang perniagaan dalam bidang kopi dan kafe," ujarnya.
Antara daya tarikan pameran dan forum itu termasuk pertandingan barista dan Latte Art yang bukan sahaja untuk profesional, malah turut membuka ruang kepada kanak-kanak untuk menyertai aktiviti berasaskan kopi yang sesuai dengan usia mereka.
"Untuk menambahkan elemen hiburan, konsert mini, persembahan busker dan e-sport juga akan diadakan sepanjang acara tersebut.
"PIFF 2025 disasarkan untuk semua golongan yang terlibat dalam industri francais dan kopi, termasuk usahawan, pelabur, profesional seperti barista dan pengusaha kafe, pelajar institusi kulinari, serta peminat kopi dan teh.
"Acara ini dijangka menjadi platform yang signifikan untuk pemain industri menjalin hubungan dengan rakan kongsi global, meneroka peluang pembiayaan, dan mengakses teknologi terkini serta pasaran yang lebih luas," tambah Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah.
Dengan pelbagai elemen yang diperkenalkan dalam PIFF 2025, PERNAS berharap acara ini dapat menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri francais dan kopi di Malaysia, seterusnya memperkukuh kedudukan negara sebagai hab francais dan kopi di rantau ASEAN.
"Bagi mereka yang berminat untuk menyertai PIFF 2025, pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui laman web rasmi di https://piff.pernas.my," katanya ketika ditemu bual dalam program Niaga AWANI pada Selasa.